NATIONAL
Dua warga Singapura ditemui mati di rumah inap dalam keadaan mencurigakan

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dua warga Singapura ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah inap di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, kejadian itu dilaporkan pada jam 12.53 tengah hari melalui panggilan kecemasan MERS 999.
Katanya, Pusat Kawalan Polis IPD Cheras menerima maklumat daripada seorang pengadu yang memaklumkan terdapat dua individu tidak sedarkan diri di dalam premis berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura, ditemui terbaring di atas katil di salah sebuah bilik rumah inap berkenaan."Kedua-dua mangsa juga berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
Mangsa lelaki berusia 43 tahun manakala wanita itu pula berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-duanya memegang kad pengenalan Singapura dan masing-masing beralamat di Puchong dan Singapura.
Katanya lagi, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran atau unsur jenayah pada tubuh kedua-dua mangsa.
"Bagaimanapun, mayat telah menunjukkan tanda-tanda pereputan serta berbau busuk, dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.
"Saksi kejadian iaitu pekerja homestay, memberitahu dia tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi dan mendapati pintu masih berkunci serta kasut mangsa masih berada di dalam.
"Selepas gagal mendapatkan respons daripada penghuni, dia menghubungi pengurus homestay yang kemudiannya mengarahkan supaya pintu dibuka menggunakan kunci pendua," katanya.
Aidil berkata, pemeriksaan mendapati penghawa dingin, kipas siling dan televisyen dalam keadaan terpasang.
"Setelah membuka tingkap, saksi melihat kedua-dua mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Selain itu, satu bekas logam yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin turut ditemui di lokasi kejadian," ujarnya.
Polis mengesahkan tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam premis bagi membantu siasatan.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang,” tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami