Skip to main content

Politik

Kuasa tawar-menawar pertaruhan strategi UMNO kekal relevan - Penganalisis

KUALA LUMPUR, 10 Jan -- Bendera UMNO berkibaran sekitar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada sesi raptai sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di WTCKL, hari ini.
Sivamurugan berkata, mesej yang dibawa menerusi pendirian terkini UMNO memperlihatkan komitmen terhadap kestabilan politik serta fleksibiliti menentukan hala tuju parti. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan sambil mengekalkan keterbukaan terhadap pelbagai pilihan politik merupakan strategi parti supaya terus relevan dan memiliki kuasa tawar-menawar.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, mesej yang dibawa menerusi pendirian terkini UMNO memperlihatkan komitmen terhadap kestabilan politik serta fleksibiliti menentukan hala tuju parti.  

“Ini menunjukkan UMNO mahu kekal relevan sebagai parti yang mempunyai kuasa tawar-menawar unuk membentuk landskap politik, sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau penjajaran semula kerjasama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

"Kelebihan ini penting ketika proses rundingan politik, antaranya berkaitan pembahagian kerusi dan sebagainya,” kata Sivamurugan dalam Buletin AWANI Khas, di sini, pada Khamis.

Jelasnya, dalam keadaan politik yang semakin dinamik, menutup ruang kepada kemungkinan kerjasama baharu bukan pendekatan bernas.

“Politik itu sudah bersifat cair dan kita lihat dalam konteks kecairan ketika ini, menutup semua pintu kerjasama bukan satu strategi yang bijak. 

"Seperti biduk berlalu, kiambang bertaut, dalam politik, walaupun ada perselisihan sekarang, kerjasama masih boleh dibentuk kelak

“Jadi kenyataan yang dikeluarkan oleh UMNO menunjukkan parti itu mahu berpijak pada realiti politik semasa, iaitu mengekalkan kestabilan kerajaan hari ini sambil membuka ruang strategik untuk hari esok," ujarnya.

Sivamurugan turut berpandangan kenyataan UMNO tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menjauhkan diri daripada PH.

Ini kerana, UMNO ketika ini dipercayai sedang dalam fasa mengukur tahap pemulihan parti, antaranya selepas pengenalan gagasan Rumah Bangsa, selain melihat kekuatan sebenar di peringkat akar umbi.

“UMNO mahu melihat sama ada sokongan tradisinya telah kembali. Bertanding solo untuk kesemua kerusi DUN di Johor dan Negeri Sembilan akan memberi gambaran lebih jelas tentang kekuatan akar umbi serta penerimaan pengundi.

“Dalam sesebuah gabungan, jumlah kerusi yang ditandingi sering menjadi ukuran pengaruh sesuatu parti.

“Namun yang penting bukan sekadar berapa banyak kerusi ditandingi, tetapi juga sama ada UMNO berjaya menterjemahkan keyakinan parti kepada sokongan pengundi, sebagai usaha melihat kebangkitan parti," katanya.

Must Watch Video

Advertisement