IPOH: Seorang peniaga melecur pada kedua-dua kaki selepas tersimbah minyak panas untuk menggoreng ayam dalam kejadian ribut di Bandar Meru Raya di sini.

Menceritakan kejadian cemas jam 5.30 petang Isnin itu, Zaquan Jamaluddin, 30, berkata, ia bermula dengan hujan gerimis diikuti angin kuat yang menerbangkan beberapa khemah rakan-rakannya.

Menurutnya, khemah niaganya juga ditiup angin menyebabkan dia terpaksa memegang tiangnya bagi mengelakkan ia terbang.

"Ketika sedang memegang khemah, tidak semena-mena peralatan menggoreng ayam bersama minyak panas sebanyak 34 kilogram berhampiran terbalik.

"Minyak panas itu tersimbah ke kaki saya, memang tak sempat nak mengelak sebab kami semua sibuk pegang khemah takut terbang.

"Kawan saya turut terkena sedikit minyak panas. Mula-mula saya dapatkan rawatan di klinik berhampiran tetapi selepas itu rasa sakit sangat saya hubungi ambulans dan terus ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui hari ini.

Zaquan berkata, sejak menjalankan perniagaan tahun lalu, belum pernah kejadian ribut seteruk semalam sehingga menyebabkan kecederaan.

Menurutnya, walaupun masih sakit, dia terpaksa meneruskan perniagaan kerana perlu mencari pendapatan dan membayar gaji pekerja.

Katanya, selepas kejadian semalam, mereka terus mencari khemah baharu untuk digunakan bagi meneruskan perniagaan.

Kejadian ribut semalam menjejaskan lebih 10 peniaga yang berniaga di kawasan berkenaan.

Rakannya, Yasmin Ishak, 26, pula berkata, kejadian ribut itu berlaku dalam sekelip mata sehingga peniaga tidak sempat untuk menyelamatkan peralatan, termasuk khemah.

"Saya sudah dua tahun meniaga kawasan ini memang selalu berlaku angin kuat, tapi semalam agak kuat, mujur peralatan dan khemah sahaja yang rosak.

"Rasanya lebih 10 peniaga berhampiran terjejas akibat ribut ini kebanyakannya mengalami kerosakan khemah niaga," katanya yang menjual kuih keria.

Bagi penjual buah, Mohd Mahazir Abdul Latif, 32, kerugian yang dialami agak besar lebih RM4,000 melibatkan kerosakan tiga buah khemah jenis kanopi besar dan satu khemah kecil.

Menurutnya, mereka tidak menyangka khemah yang biasa digunakan untuk kenduri kahwin itu boleh diterbangkan angin sehingga ke atas talian elektrik.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Memang tak boleh buat apa dah sebab angin terlalu kuat. Alhamdulillah, tak ada sesiapa yang cedera cuma khemah semua tak boleh guna.

"Sementara menunggu modal beli khemah baru, kami terpaksalah sewa khemah untuk teruskan berniaga. Buat masa ini kami cuti dahulu untuk bersihkan kawasan ini," ujarnya.

Dia berharap ada pihak dapat memberikan sedikit bantuan kepada peniaga yang terjejas akibat bencana ribut tersebut.