IPOH: Kerajaan Perak menerima royalti bernilai hampir RM16 juta hasil daripada projek rintis perlombongan Projek Perintis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, di Gerik, setakat pada Julai lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah royalti yang diterima menerusi projek di atas tanah berkeluasan 87.4 hektar itu merupakan hasil 10 kali pengeksportan bahan nadir bumi itu kepada negara China.

“Projek perintis ini membuktikan bahawa nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui ‘in situ reaching’ merupakan kaedah yang terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar.

“Ekoran kejayaan projek perintis ini, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan yang telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA)  iaitu seluas 2,160.7 hektar

“Penilaian untuk pembukaan kawasan baharu bagi perlombongan NR-REE di Perak adalah bergantung kepada suatu badan bebas melalui jawatankuasa audit yang dibentuk Bagi Tujuan Pemantauan Pelaksanaan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting), Cheah Pou Hian (PH-Jelapang) dan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Selasa.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjelaskan, jawatankuasa audit berkenaan melibatkan 12 agensi termasuk antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).

“Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, anggaran deposit NR-REE di negeri ini adalah sebanyak 1.69 juta tan dengan nilai RM46.5 billion,” katanya lagi.

Mohd Fakhrudin kemudian bangun bertanyakan soalan tambahan dengan meminta penjelasan sama kerajaan negeri mempunyai perancangan atau sebaliknya berhubung usaha mengurangkan kebergantungan sumber pendapatan negeri terhadap aktiviti pembalakan, susulan nilai royalti yang tinggi diterima kerajaan negeri melalui aktiviti perlombongan NR-REE.

Saarani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terhadap pelaksanaan kepada cadangan itu.

Bagaimanapun, jelas Menteri Besar, ia masih bergantung kepada kajian lanjut kerana aktiviti pembalakan merupakan salah satu daripada hasil pendapatan negeri.

Namun kata beliau, sekiranya hasil daripada perlombongan NR-REE itu terus menghasilkan pulangan yang tinggi, kerajaan negeri mungkin akan mengur,angkan kebergantungan daripada hasil pembalakan yang selaras dengan hasrat melestarikan alam.

“Saya tak boleh mengesahkan sama ada kita akan kurangkan ataupun kita terus terbang (meneruskan aktiviti pembalakan), kerana ia bergantung kepada kajian.

“Kerana kalau lihat kepada nilai NR-REE dimaklumkan tadi sudah ada RM46.5 billion. Belanjawan tahunan kerajaan negeri pun sekitar RM1.2 billion setahun dan ini bermakna kita boleh bertahan 40 tahun, jika berjimat.

“Dan jika itu keadaanya, barangkali kita boleh mengurangkan kebergantungan pendapatan kepada hasil pembalakan atau hasil hutan, dan sebaliknya kita terus memberi tumpuan dan fokus kepada mengeluarkan hasil bumi dalam bentuk NR-REE ini,” katanya lagi.