KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah meluluskan Datuk Seri Hajiji Noor meluluskan peruntukan lebih RM12 juta kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan pembangkang.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Jasni Daya berkata, daripada jumlah itu, RM11.2 juta telah dan dalam proses penyaluran kepada pejabat kawasan UPPM manakala selebihnya masih dalam proses mendapatkan maklumat lengkap dari pejabat terlibat.

"Setakat Jun 2022 sebanyak RM12,413,000.00 permohonan peruntukan telah diluluskan oleh Ketua Menteri dari UPPM kawasan pembangkang yang melibatkan sebanyak 354 projek kecil.

"Bagi melicinkan dan mempercepatkan proses penyaluran peruntukan khas ini oleh pihak Kementerian Kewangan, diharapkan pihak UPPM yang terlibat dapat mengemukakan permohonan melalui Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Beliau menjawab soalan asal, Alias Sani (Warisan-Sekong) yang ingin tahu berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada UPPM di kawasan-kawasan ADUN Pembangkang dan apakah ianya sudah diagihkan.

Sementara itu, Hajiji ketika menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) yang ingin tahu mengenai penyenaraian projek UPPM di kawasan pembangkang berkata, lebih RM1.2 juta telah disalurkan kepada UPPM di kawasan DUN Moyog dengan 13 projek kecil.