MALAYSIA
Pelajar wanita cedera dikelar, bekas teman lelaki ditahan polis

Suspek lelaki berumur 21 tahun, yang dikenal pasti sebagai bekas teman lelaki mangsa telah ditahan sejurus selepas kejadian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita warga asing berusia 20 tahun cedera selepas dikelar di leher oleh bekas teman lelakinya yang juga warga asing dalam kejadian di sebuah universiti di Subang Jaya, Selangor, petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6.30 petang berhubung kejadian itu yang melibatkan serangan menggunakan pisau.
“Pada jam lebih kurang 6.30 petang pihak polis telah menerima satu laporan yang mana berlakunya kes seorang lelaki mencederakan seorang wanita.
“Sebaik pihak polis tiba di lokasi, terdapat insiden yang mana seorang lelaki dikatakan telah mencederakan seorang wanita yang juga merupakan bekas kekasihnya,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.Mangsa yang mengalami kecederaan di leher sebelah kiri telah dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di Zon Merah untuk rawatan kecemasan. Keadaan mangsa dilaporkan stabil.
“Suspek lelaki berumur 21 tahun, yang dikenal pasti sebagai bekas teman lelaki mangsa telah ditahan sejurus selepas kejadian.
“Bagaimanapun pihak polis masih menyiasat motif sebenar serangan yang dilakukan lelaki terbabit,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau gabungan dua daripada hukuman tersebut.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat lanjut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Fadizah Ajamin di talian 019-8582166. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami