KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2023 melibatkan peruntukan RM833,019,462 diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, anggaran tambahan keseluruhan tersebut adalah disifatkan mustahak dalam melancarkan operasi pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, tambahan tersebut adalah penting untuk tempoh suku keempat pada tahun ini selain isu-isu penyelesaian segera seperti masalah bekalan air.

"Anggaran tambahan ini menumpukan perbelanjaan operasi terutamanya dalam menangani isu-isu air dengan RM139.09 juta bersamaan 16.9 peratus diperuntukkan untuk tujuan itu dan selebihnya lain-lain perbelanjaan operasi.

"Perbelanjaan dimaksudkan adalah operasi Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta, penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan sebanyak RM19.78 juta," katanya dalam pembentangan syor ke atas Permohonan Peruntukan Tambahan (ASP) 2023 bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan Negeri sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah.

"Lain-lain keperluan yang berjumlah RM380.37 juta untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa bagi menampung keperluan sehingga hujung tahun seperti berikut, Jabatan Ketua Menteri sebanyak RM34.77 juta, Kementerian Kerja Raya sebanyak RM30.36 juta; Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM9.64 juta, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM7.69 juta; dan Pelbagai Kementerian dan Jabatan Negeri yang lain sebanyak RM26.88 juta," katanya.

Beliau menambah, agihan terbesar di bawah Anggaran Tambahan Pembangunan sebanyak RM149.36 juta atau 47.6 peratus diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi membiayai projek yang sedang dilaksanakan.

"Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM65 juta adalah untuk membiayai Projek Bekalan Air Pinjaman Persekutuan, manakala sejumlah RM84.36 juta adalah pembiayaan di bawah Kumpulan Wang Negeri.

"Agihan kedua terbesar sebanyak RM98.2 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah Peruntukan Khas. Manakala, sejumlah RM29.77 juta pula diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri bagi membiayai pembayaran pampasan pengambilan tanah, Pusat Islam Libaran, projek pembangunan khas dan tambahan pinjaman kepada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.

"Selain dari itu, sebanyak RM13.32 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.5 juta adalah pembiayaan di bawah Pinjaman Persekutuan dan bakinya sejumlah RM11.82 juta daripada pembiayaan Kumpulan Wang Negeri untuk membiayai beberapa projek pembangunan," katanya," katanya lagi.

Peruntukan tambahan juga diberikan kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah sebanyak RM617,000 di bawah pembiayaan Sumbangan Modal bagi Projek Pemasangan Utiliti di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran. Manakala, sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bagi pembaikan Bangunan Asrama Lelaki dan Asrama Wanita Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU, Kimanis.