Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata satu usul komprehensif akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak dari 21 hingga 30 Nov ini.

Usul itu akan meliputi semua aspek berkaitan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

"Ia merupakan usul komprehensif, termasuk Akta Laut Wilayah dan sudah tentu juga status Sabah dan Sarawak secara berasingan daripada negeri lain di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan upacara menandatangani kontrak E6DP-A Substructure and Topsides bagi Sarawak Shell Berhad antara pihak pengurusan Syarikat Shell di Malaysia dan pihak pengurusan Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation.

Adenan berkata perlembagaan pada asalnya menyebut bahawa negeri-negeri di Malaysia adalah negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura, tetapi diubah pada 1976 dengan menyebut bahawa negeri-negeri Malaysia terdiri daripada negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang sama statusnya.

"Kami mahu mengubah status ini kepada seperti mana asalnya. Kami mahu status asalnya dikembalikan kepada kami, status yang kami miliki dahulunya pada 1963," kata beliau.

Menjawab soalan lain, Adenan berkata terserahlah kepada kerajaan negeri Sabah sama ada mereka ingin menyokong langkah kerajaan Sarawak bagi memperjuangkan hak mereka.

"Saya tak boleh berkata apa-apa dan terserahlah sepenuhnya kepada mereka sama ada mereka ingin menyokongnya," kata beliau.

Ditanya sama ada cadangan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu menimbang untuk meninggalkan gabungan itu sekiranya kerajaan negeri tidak mendapat apa yang dituntutnya, Adenan berkata itu adalah pendapat Chong semata-mata.

"Pendapat beliau selalunya bercanggah dengan pendapat kami...itu bukan perkara baharu," katanya.

Sementara itu, Adenan berkata kerajaan negeri Sarawak ingin menambah saluran paip gasnya di Miri supaya meliputi kawasan lebih luas, termasuk kawasan kediaman, komersial dan industri di Bahagian Bintulu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Adenan memuji Shell kerana menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi Sarawak serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.

"Kami ingin melibatkan diri secara aktif dalam industri minyak dan gas di negeri kami sendiri. Kami tidak mahu menjadi penonton semata-mata," katanya sambil menjelaskan bahawa Shell sentiasa berada di hadapan, khususnya dalam mengambil rakyat Sarawak untuk bekerja dengan syarikat itu.

Beliau berharap Shell akan mencari gali lebih banyak minyak dan gas di Sarawak dan menggesa Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation, sebuah syarikat milik kerajaan negeri, supaya terus mengekalkan rekod kecemerlangannya berikutan harapan tinggi yang diletakkan di bahu syarikat itu.

-- BERNAMA