KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan bonus minimum RM 2,000 kepada penjawat awam negeri manakala penjawat awam persekutuan turut diberikan RM 500 yang akan dibayar sebelum penghujung 2022.

Perkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mengakhiri ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.

“Dengan ini, Kerajaan GPS telah memutuskan untuk memberi bayaran insentif khas bersamaan sebulan setengah gaji pokok atau minima RM2,000 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, dan akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

“Kita juga akan membayar insentif khas kepada lebih kurang 137,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sebanyak RM500. Bonus tahun ini merupakan yang tertinggi diberikan kerajaan Sarawak dalam sejarah pemberian bonus," katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.

Sementara itu, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan ekonomi negara.

Sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara terutama dalam membuat keputusan untuk negara.

“Sebagai rakyat Malaysia yang taat setia kepada titah Yang Di-Pertuan Agong, Kerajaan GPS telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada keputusan Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk perlantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan seterusnya menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan GPS merupakan model Kerajaan yang sentiasa menjunjung prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Mewakili 2.8 juta rakyat Sarawak, beliau berharap dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan baharu, banyak pembangunan dapat dilaksanakan dan segala hak tuntutan Sarawak dapat dipenuhi demi semangat perpaduan dalam Malaysia.

Selain itu, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas segala jasa dan sumbangannya dalam pembangunan sosioekonomi Sarawak.