KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) tanpa dibahaskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Jumaat.

Jelas Timbalan Premier Sarawak itu, RUU Perbekalan Tambahan berkenaan adalah bagi menampung perbelanjaan tambahan negeri berjumlah RM60,064,358 sekali gus membiayai beberapa geran tambahan di bawah pengurusan 23 pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan negeri.

RUU itu disokong Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Uggah turut membentangkan usul untuk melulus resolusi anggaran perbelanjaan pembangunan tambahan pertama 2022 kepada Jawatankuasa Perbekalan. 

Anggaran itu melibatkan enam bahagian utama antaranya melibatkan pengecualian sewa, permit serta lesen perniagaan, diskaun sewa bulanan dan kadar taksiran diantara 25 hingga 100 peratus.

“Diskaun 25 peratus kadar taksiran untuk pegangan lanjutan dengan kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 untuk industri komersial dan premis pegangan khas serta tanah kosong untuk bulan Januari hingga Jun 2022 berjumlah RM18,182,344.

“Diskaun 30 peratus hingga 100 peratus kadar taksiran untuk pegangan lanjutan dengan kadar cukai pintu tahunan di bawah RM400 untuk tahun 2020 berjumlah RM23,554,945. Sementara, 30 peratus hingga 100 peratus potongan kadar taksiran untuk pegangan lanjutan dengan kadar cukai pintu tahunan di bawah RM400 untuk Januari hingga Jun 2022 berjumlah RM12,176,798.

Pada pertengahan Februari lalu, DUN Sarawak telah meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022 tanpa dibahas bagi menampung perbelanjaan tambahan negeri berjumlah lebih RM400 ribu untuk membiayai perkhidmatan daripada kementerian dan jabatan yang dananya tidak disediakan atau tidak mencukupi dalam perbelanjaan 2021.

Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM9.832 bilion untuk belanjawan 2021 dengan RM6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.832 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Manakala sejumlah RM10.14 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan Sarawak 2022.