KUCHING: Sarawak memperkasa industri sagu dan nipahnya  selepas Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SNDB), 2022 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri (DUN)  hari ini.

Usul dibaca kali ketiga oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Usul berkenaan antara ialn menegaskan, sebagai pengeluaran industri sagu terbesar di dunia, Sarawak seharusnya tidak melepaskan peluang untuk terus mengangkat potensi komoditi itu.

Jelas Stephen apabila ditubuhkan nanti, lembaga itu akan membantu kerajaan negeri dalam merancang untuk daya maju dan kemampanan industri itu di negeri ini pada masa hadapan.

"Pada 2020, Sarawak mengeksport 37,884 tan metrik kanji sagu bernilai RM78.29 juta, terutamanya ke Semenanjung Malaysia dan Jepun masing-masing dengan 51.27 peratus dan 35.47 peratus daripada jumlah eksport.

"Sarawak telah mewujudkan kedudukan pasaran globalnya untuk kanji sagu dan untuk kekal berdaya saing. kerajaan perlu memastikan dan mengekalkan kelebihan pasaran dan penguasaan harga ini," katanya.

Selari Matlamat Pembangunan Mampan 1(SDG1) aitu tumpuan kepada keselamatan makanan, ia juga selari dengan SDG14 berkenaan pemulihan dan pembangunan mampan.

Dengan erti kata lain, sagu dan nipah bukan sahaja untuk industri makanan, tetapi juga penghasilan produk mesra alam seperti bungkusan terbiodegrasi.

"Saya optimis, dengan penubuhan rang undang-undang ini, pelaksanaan semua inisiatif dan program pembangunan kerajaan akan lebih fokus, berkesan dan cekap.

"Ini akan membawa kepada peningkatan dalam produktiviti, penggunaan teknologi baharu dan menggalakkan pembangunan teratur sektor huluan dan hiliran.

"Terutamanya dalam melaksanakan dan mempromosikan komoditi ini dan aktiviti berkaitannya untuk pekebun kecil di Sarawak,"ujarnya.