Gendang Pilihan Raya Umum ke 14 terus bergema dan hari ini menjadi hari paling 'bising' bagi memulakan minggu kedua di tahun baru selepas Pakatan Harapan menamakan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mereka.

Namun, di dunia teknologi, gergasi media sosial, Facebook menerusi pengasasnya Mark Zuckerberg turut mendapat perhatian pemerhati teknologi dunia.

Zuckerberg menerusi catatan tahun baru di laman Facebooknya menyatakan tahun ini merupakan tahun yang amat penting dalam menentukan model perniagaan yang lestasi buat Facebook.

"Ia bagaikan tahun pertama kerja di sini, akan tetapi dunia penuh dengan kebimbangan dan semakin terpisah.

"Ia mungkin membabitkan soal keselamatan pengguna daripada salah guna kuasa, penyebaran kebencian dan juga memastikan pengguna menghabiskan masa dengan berkualiti di platform ini," katanya.

Beliau turut mengakui tahun 2018 menjadi cabaran peribadi buatnya dalam memberi tumpuan kepada penetapan isu-isu penting.

Malah beliau turut mengakui Facebook telah melakukan beberapa kesilapan akibat terlalu banyak penguatkuasaan bagi mencegah penyalahgunaan kemudahan yang disediakan menerusi platform media sosial paling berpengaruh dunia ketika ini.

Katanya, salah satu persoalan menarik untuk diberi perhatian dalam dunia teknologi ketika ini ialah mengenai pemusatan dan pengagihan kuasa.

"Ramai antara kita mengaplikasikan penggunaan teknologi kerana percaya pengagihan kuasa dengan cara memberi meletakkan lebih kuasa di tangan rakyat.

"Namun, kebanyakan orang telah hilang kepercayaan berhubung janji tersebut.

"Dari situ munculnya sejumlah kecil syarikat teknologi tinggi serta pihak kerajaan yang menggunakan teknologi untuk mengawal rakyatnya.

"Maka muncul pula trend yang amat siginifikan iaitu melalui penyulitan data dan cryptocurrency sekali gus mengambil kembali kuasa sistem berpusat untuk dikembalikan ke tangan rakyat," katanya.

Beliau percaya, trend baru ini datang dengan risiko selain sukar dikawal.

Oleh yang demikian, Zuckerberg bersedia untuk mendalami dan mempelajari aspek ini bagi mendapatkan cara terbaik untuk pengguna Facebook.