KUALA LUMPUR: Dunia memerlukan agenda perdagangan baharu yang tidak terikat dengan klise lama, sebaliknya berteraskan pendekatan lebih segar bagi mengemudi negara-negara untuk bergerak seiring demi kejayaan bersama.

Ketika berkongsi perkara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, agenda baharu itu perlu mengambil kira elemen yang turut memastikan golongan pekerja mendapat habuan gaji setimpal manakala kalangan negara-negara maju dan sedang pesat membangun berupaya mengekalkan kelompok kelas pertengahan yang mampan.

Pada masa sama, aspek iklim perlu dijadikan tumpuan selain memastikan negara-negara berupaya memperoleh cukai sewajarnya daripada syarikat multinasional dalam usaha menyediakan perkhidmatan, khususnya kesihatan selain jaminan dari segi kesepaduan sosial.

"Perdagangan harus menghubungkan titik-titik antara iklim, sara hidup masyarakat kelas pertengahan dan memastikan tenaga kerja sihat serta berasa terjamin mengenai kehidupan mereka agar dapat berperanan sebagai pengguna dan bukan pekerja semata-mata.

"Sehubungan itu, tindakan mengelak daripada (amalan) saling bersaing untuk ke bawah dan memastikan persekitaran yang mendorong negara-negara berlumba mencapai kejayaan, seharusnya menjadi agenda perdagangan baharu," katanya pada ucapan perasmian mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (ABAC), di sini, pada Khamis.

Menjelaskan selanjutnya, Liew berkata, ketegangan geopolitik dan peperangan kini menjadi tajuk utama berbanding keadaan pada tiga dekad lepas apabila dunia menjadi tempat lebih sarat dengan sentimen optimis.

Beliau juga menyifatkan idea APEC sebagai penekanan visi alternatif Asia Pasifik yang aman, makmur serta kolaboratif dan di sebalik perpecahan yang ada, kerjasama ekonomi antara negara-negara ini masih menjadi usaha yang wajar untuk ditegakkan.

"Tiada perkumpulan serantau lain yang boleh menyaksikan Amerika Syarikat, China, Rusia yang menjadi anggotanya serta negara-negara subnasional China, mampu duduk di meja sama.

"Kewujudan APEC itu sendiri sudah cukup menjadi alasan untuk diraikan dan memberi kita satu bentuk organisasi dan visi alternatif. Jelaslah, APEC memberi kita harapan dalam tempoh suram sejarah global," katanya.

Malah, katanya, Malaysia melihat APEC kekal sebagai forum penting dalam menggariskan strategi dan aspirasi ekonomi negara.

"Daripada peringkat memupuk landskap digital yang pesat untuk melindungi persekitaran bersama, inisiatif domestik Malaysia itu juga sebenarnya melaungkan semangat agenda APEC," katanya.

Bersandarkan kepentingan itu juga, Malaysia bertindak memperkenalkan dua dasar utama negara pada tahun lepas - Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Jika diamati, teras dasar-dasar ini juga seiring dengan komitmen Malaysia terhadap mudah cara perdagangan APEC dan keutamaan kerjasama ekonomi yang lebih akrab," katanya.

Menyentuh ABAC, beliau berkata, selain peranan sebagai agenda kemudahan perdagangan dan pelaburan, majlis itu juga perlu wujud sebagai peneraju dialog dan persefahaman -- satu kuasa proaktif yang menggalakkan kestabilan dan kemampanan ekonomi rantau ini.

Elemen seperti komunikasi terbuka, kepentingan bersama dan komitmen utuh terhadap kerjasama ekonomi akan membolehkan anggota APEC merapatkan jurang selain mengukuhkan lagi Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan.

Pandangan ABAC turut membantu kerajaan untuk merealisasikan visi serta misi APEC, katanya.

Selain itu, Liew juga menyifatkan perkongsian awam-swasta dan kerjasama kerajaan-kerajaan APEC dan sektor swasta sebagai kunci untuk mencapai hasil dalam memanfaatkan peluang pertumbuhan yang tidak terbatas.

"Justeru, dalam mesyuarat ini, marilah kita bersama-sama dengan satu komitmen dan tekad bagi menterjemahkan tema 'Rakyat. Perniagaan. Kemakmuran' dalam menyokong inisiatif APEC selaras dengan Visi Putrajaya 2040.

"Menerusi usaha itu, kita dapat memastikan bahawa hasil usaha kolektif kita bukan setakat membawa kepada kemakmuran ekonomi tahun ini, namun menjadi elemen penting ke arah pertumbuhan berterusan, berdaya tahan serta mampan," katanya. - BERNAMA