KUCHING: Usaha Sarawak untuk melonjakkan inisiatif perlindungan alam sekitar khususnya dalam menggalakkan tenaga bersih, menawarkan potensi besar untuk kerjasama dengan firma Amerika Syarikat (AS).

Duta Besar AS di Malaysia Edgard D Kagan berkata kerjasama baharu boleh diteroka memandangkan Sarawak telah bergerak ke hadapan terutama dalam pembangunan hidrogen sebagai tenaga bersih.

"Sarawak ialah peneraju benar dalam perkara ini dan terdapat peluang untuk syarikat AS.

"Ini juga mewujudkan peluang besar untuk memperkukuh perkongsian AS-Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pelaburan firma AS di Sarawak telah dibuat sejak sekian lama dan bermula dengan penglibatan dalam industri minyak dan gas, sebelum berkembang ke dalam sektor perindustrian lain.

"Antara yang terbesar (dalam industri teknologi tinggi) kini ialah Western Digital yang menggaji lebih 2,000 orang di kilangnya di sini," katanya.

Kagan berkata firma itu adalah sebesar syarikat minyak dan gas AS yang telah berada di Sarawak selama beberapa dekad.

-- BERNAMA