PUTRAJAYA: Kira-kira 16,000 ekor babi daripada 19 ladang di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka akan dihapuskan bagi mengekang penularan Demam Babi Afrika (ASF) di kawasan itu, kata Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Beliau berkata virus ASF mula dikesan di Paya Mengkuang pada akhir bulan lepas dan dalam tempoh dua minggu, 19 daripada 35 ladang babi di kawasan itu disahkan dijangkiti virus yang cepat berjangkit.

"Terpaksa hapuskan (babi) kerana kami menggunakan polisi stamping out, bermaksud mana-mana babi dalam kandang atau ladang yang disahkan positif ASF perlu dimusnahkan.

"Setakat Ahad, 13,000 ekor babi telah dimusnahkan menggunakan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan.

"Program pemusnahan bukan mudah. Kena dapatkan pengesahan makmal, persetujuan tuan punya babi serta logistik untuk mengangkut, memusnah dan menanam babi," katanya dalam sidang media webinar pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, pada Isnin.

Beliau berkata polisi stamping out yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) itu masih dapat mengawal penyakit ASF daripada terus merebak.

"Kami juga mengaktifkan program pengawasan dan pemeriksaan klinikal bukan sekadar di Paya Mengkuang tetapi di ladang babi di seluruh Malaysia kerana kami nak pastikan tidak ada virus ASF yang terlepas dari kawasan Paya Mengkuang," katanya.

"Mana-mana kandang terjangkit dengan ASF akan melibatkan bilangan kematian yang tinggi sehingga 100 peratus sekiranya tidak dimusnah dengan segera," katanya dan menambah tanda klinikal babi yang dijangkiti ASF ialah kemerahan pada telinga, hujung kaki, bahagian bawah badan terutama perut dan dada.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu berasa panik kerana ASF tidak berjangkit kepada manusia.

Norlizan berkata bekalan daging babi untuk sambutan Tahun Baharu Cina awal bulan depan juga tidak akan terjejas kerana keseluruhan ladang babi di Malaysia adalah sebanyak 456 dengan populasi 1.4 juta ekor.

-- BERNAMA