KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk melaksanakan dwirangkaian 5G selepas pelaksanaan rangkaian itu di bawah Digital Nasional Bhd (DNB) mencapai 80 peratus liputan, disifatkan sebagai jalan penyelesaian 'menang-menang'.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Prof Barjoyai Bardai berkata langkah 'memecah' rangkaian tunggal pelaksanaan 5G itu akan membolehkan pemain industri menerokai lebihan 20 peratus liputan sekali gus mampu menarik minat pelaburan asing.

"Apabila dibuka kepada pemain lain selepas capaian mencapai 80 peratus, ini akan memberi peluang pertandingan dalam pasaran atau pertandingan bermonopoli iaitu ada satu syarikat besar dan syarikat kecil bertanding.

"Dalam hal ini, syarikat kecil akan menjadi asas perbandingan kerana kalau mereka boleh menawarkan kecekapan terbaik pada harga yang rendah apabila pelaksanaan, syarikat besar perlu mengikuti langkah sama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekiranya pasaran 5G mengembang dalam jangka masa tiga tahun akan datang, dijangka 80 peratus pasaran yang dipegang oleh syarikat tunggal akan menurun kepada 60 peratus.

Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff menyifatkan pelaksanaan dwirangkaian 5G sebagai langkah tepat memandangkan tiada sebab yang kukuh untuk bergantung kepada satu entiti sahaja bagi pelaksanaan sebuah inisiatif besar.

"Penggantungan kepada sebuah syarikat sahaja hanya akan menghalang inovasi, menimbulkan rasa tidak puas hati, berupaya meningkatkan risiko rasuah dan membantutkan sebarang perubahan," katanya kepada Bernama.

Mengenai amaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) tentang keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei, Rais berkata berdasarkan data umum, hampir semua negara EU termasuk Jerman, Perancis, United Kingdom dan Sepanyol menggunakan kelengkapan Huawei untuk pelaksanaan 5G di negara mereka.

"Ini adalah negara besar...dan perubahan landskap geopolitik juga menuntut Malaysia kekal neutral dalam keutamaan teknologi dan sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia perlu melakukan yang terbaik untuk jangka masa panjang.

"Kita tidak boleh bergantung kepada satu teknologi dan rangkaian sahaja. Saya rasa adalah penting untuk kita mempunyai kelebihan yang berdaya tahan serta teguh yang akan dapat menangani semua kemungkinan," katanya dalam program Bernama TV, The Brief pada Khamis.

-- BERNAMA