Kadar tambang yang dikenakan operator e-hailing (EHO) akan kekal kompetitif walaupun selepas pematuhan Lesen Vokasional PSV (Teksi/E-hailing) berkuatkuasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata peningkatan kadar tambang tidak akan berlaku kerana ia akan menyebabkan para pengguna tidak akan memilih perkhidmatan tersebut.

“Syarikat-syarikat EHO sudah tentu perlu menawarkan kadar tambang yang berpatutan dan kompetitif kepada penumpang-penumpang mereka. Jadi saya tidak melihat bahawa ia (kadar tambang) akan berubah secara mendadak.

“Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita (MOT) buat peraturan ini, maka kadar tambang itu akan meningkat. Itu adalah anggaran (andaian) apa yang dikatakan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

“Kita harap EHO yang sudah disahkan selepas menjalani proses peraturan, maka kadar tambang itu mestilah berpatutuan. Kalau mereka tidak kompetitif, maka penumpang-penumpang tidak akan memilih perkhidmatan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan kaitan antara insentif kepada para pemandu e-hailing dengan kadar tambang yang ditanggung para pengguna.

Bermula 1 April hingga 30 Jun 2019, sebanyak 16,338 calon telah menduduki ujian teori PSV (Teksi/E-hailing) di mana daripada jumlah tersebut sebanyak 10,151 telah lulus dan layak memohon lesen PSV.

Malah, pihaknya turut menjangkakan peningkatan dengan lebih mendakak jumlah penglibatan pemandu e-hailing menjelang 12 Julai 2019 selaras dengan pengenalan kursus secara digital yang telah dijalankan bermula 3 Jun 2019 di pusat latihan yang telah diluluskan.