KUALA LUMPUR: Sistem invois elektronik atau e-invois akan dilaksanakan pada separuh pertama 2024, selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Mohd Nizom Sairi berkata e-invois akan menyelaras dan meningkatkan sistem percukaian negara, menggalakkan ketelusan dan memberikan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat.

"Ia juga akan menangani isu ketirisan hasil akibat daripada ekonomi bayangan," katanya pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 selama dua hari yang bermula hari ini di sini.

Beliau berkata untuk memastikan kepastian dalam percukaian, LHDN telah melaksanakan Program Tadbir Urus Cukai Korporat (TCG).

"Inisiatif ini menjadi platform kepada pentadbiran cukai dan pembayar cukai untuk bekerjasama secara terbuka dan telus untuk meningkatkan hal ehwal pematuhan cukai korporat organisasi," katanya.

Beliau berkata perlu diambil perhatian bahawa Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) 2.0 yang sedang dilaksanakan lebih memberi tumpuan kepada mendapatkan pembayar cukai baharu untuk mengambil bahagian dalam melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN berbanding meningkatkan kutipan cukai.

"Program ini diharap dapat membantu pembayar cukai memenuhi kewajipan cukai mereka kepada negara dan menyokong kemampanan untuk generasi akan datang," katanya.

Tema Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023, 'Taxation: Driving Force for Economic Sustainability' adalah berdasarkan kepentingan instrumen fiskal ini dalam membina negara.

Mohd Nizom berkata kemampanan ekonomi tidak dinafikan lagi menjadi antara tonggak utama untuk negara pulih, kekal berdaya tahan dan berkembang di tengah-tengah ketidaktentuan prospek ekonomi global.

"Jika kita tidak mampan dalam aliran pendapatan kita, adalah mustahil untuk membawa negara keluar daripada krisis yang kita hadapi," katanya.

Oleh itu, katanya keperluan cukai adalah penting, terutamanya dalam persekitaran semasa yang tidak menentu apabila kerajaan bergantung kepada hasil daripada cukai, antara lain, untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

-- BERNAMA