KOTA BHARU: Syarikat bas E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memohon Kementerian Pengangkutan untuk menambah bilangan bas mini Mutiara Rentas Desa (MRD) yang kini menjadi pengangkutan awam pilihan rakyat Kelantan, kata pengerusi syarikat itu Che Ibrahim Che Ismail.

"Baru-baru ini, telah berlangsung satu kunjungan hormat daripada APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) bersama Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) yang turut membincangkan hal ini.

"Sebelum membuat pertambahan bas MRD, kerajaan negeri diminta menyediakan infrastruktur yang dimahukan iaitu perlu ada stesen dan pondok-pondok bas di setiap laluan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri E-Mutiara Berhad di sini, pada Rabu.

Che Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 27 bas mini MRD beroperasi di 13 laluan di seluruh Kelantan setakat ini dan mengikut perancangan, pihaknya berhasrat menambah 14 lagi bas mini baharu dengan laluan di setiap daerah termasuk di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Bas mini MRD diperkenalkan di Kelantan dan dikendalikan oleh E-Mutiara sejak Februari 2022.

-- BERNAMA