LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa bayaran e-Tunai Belia Rahmah dalam bentuk e-Wallet akan mula diagihkan kepada golongan belia berusia 18 sehingga 20 tahun bermula bulan hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan secara berseloroh mengingatkan golongan belia untuk tidak percaya secara 'bulat-bulat' berkenaan maklumat berkaitan di aplikasi TikTok berkaitan pembayaran yang didakwa akan diberikan pada bulan lepas.

"Siapa (yang) kata bulan April, kalau Menteri Kewangan kata (memang) betul, kalau TikTok kata (kena periksa dahulu).

"Tetapi ini Menteri Kewangan hendak jawab (soalan berkaitan itu), (kepada yang) tanya e-Belia bila dapat, (sekarang) ini bulan lima (Mei), bulan enam (Jun) insya-Allah kita (akan) bagi, (tetapi) kalau beri nombor telefon, saya (akan) beritahu terus," katanya.

Anwar berkata demikian pada sesi soal jawab Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Gunung Mat Chinchang, Kolej Vokasional Langkawi, di sini pada Rabu.

Perdana Menteri sebelum ini ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat 24 Februari lalu menyatakan bahawa kerajaan akan memberikan kredit e-tunai berjumlah RM200 kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.

Peruntukan berkenaan meliputi keseluruhan peruntukan sebanyak RM400 juta.