Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) membatalkan hasrat untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaannya bagi membolehkan agensi itu kekal berstatus bebas, kata Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam.

Beliau berkata suruhanjaya itu berpendapat SPRM perlu kekal sebagai sebuah agensi 'betul-betul bebas' tanpa dikawal selia mana-mana agensi kerajaan.

"Sekiranya ia di bawah seliaan, ini akan menimbulkan persepsi ia dikawal pihak lain dan hilang elemen kebebasan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata kini terdapat tujuh jawatankuasa atau panel bebas yang terdiri daripada tokoh-tokoh profesional yang memantau gerak kerja dan disiplin SPRM.

Selain itu, katanya, EAIC mengambil maklum bahawa SPRM merupakan antara badan penyiasatan yang boleh bekerjasama dengan suruhanjaya itu di mana kerjasama tersebut tidak boleh dilaksanakan sekiranya ia diletakkan di bawah seliaan EAIC.

Mengenai kerjasama bersama SPRM, Yaacob berkata pasukan siasatan bersama EAIC dan SPRM ditubuhkan untuk menyiasat pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam kes salah laku dan rasuah.

"Dengan kerjasama ini, EAIC akan fokus elemen salah laku manakala SPRM elemen rasuah. EAIC dan SPRM akan mempergiatkan kerjasama ini agar siasatan bersama ini akan memberi kesan lebih efektif," katanya.

Mengenai cadangan menjadian EAIC sebagai pusat sehenti pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), Yaacob berkata EAIC mengalu-alukan cadangan tersebut dalam memantapkan pelaksanaan skim perlindungan pemberi maklumat.

"Satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih komprehensif akan dirangka nanti untuk memastikan pusat berkenaan lebih berkesan dan meningkatkan keyakinan orang ramai khususnya pemberi maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, Yaacob berkata EAIC menerima 470 aduan sepanjang tahun lepas berbanding 330 aduan pada 2015.

Beliau berkata aduan salah laku terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan yang tertinggi dilaporkan kepada EAIC pada tahun lepas di mana 306 aduan diterima berbanding 219 aduan pada 2015.

Aduan lain termasuk 27 aduan terhadap Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) (15), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (12) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (sembilan), katanya.

"Tiada aduan diterima terhadap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi tahun lepas,” katanya.

Daripada 470 aduan itu, mesyuarat suruhanjaya memutuskan untuk membuka 104 kertas siasatan bagi siasatan penuh dilakukan setelah mendapati aduan terlibat mempunyai asas bagi siasatan penuh, katanya.

Yaacob berkata 399 kertas siasatan bagi siasatan penuh dibuat sejak 2012 sehingga tahun lepas dan 273 aduan yang disiasat penuh diselesaikan dengan pengadu-pengadu terlibat dimaklumkan tentang keputusan terhadap aduan. -BERNAMA