MALAYSIA
EAIC sahkan tiada salah laku, JAS laksana penambahbaikan

Perintah ini menghimpunkan enam pewartaan terdahulu dalam satu dokumen pewakilan kuasa baharu, yang bertujuan menyelaraskan pelaksanaan penguatkuasaan antara agensi secara lebih sistematik.
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan komitmen untuk memperkukuh langkah penguatkuasaan dan integriti susulan laporan siasatan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan dakwaan kelemahan pengawasan premis kitar semula di Johor.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya memandang sirius terhadap laporan EAIC yang dikeluarkan pada 18 Julai 2025 mendapati tiada sebarang salah laku oleh pegawai JAS Negeri Johor, malah semua tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan mengikut undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, siasatan oleh Pasukan Petugas EAIC serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah dikesan, manakala premis-premis yang terlibat mempunyai lesen sah dan beroperasi di kawasan yang diluluskan.
“Antara yang ditekankan ialah tindakan lebih tegas terhadap premis yang melakukan kesalahan berulang, termasuk penahanan operasi, penggantungan lesen dan tindakan mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Wan Abdul Latiff memaklumkan bahawa JAS telah mengambil inisiatif untuk menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan mengedarkannya ke semua peringkat bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih seragam di peringkat negeri dan daerah.
“JAS juga akan melaksanakan sesi libat urus secara berkala bagi memastikan semua pegawai benar-benar memahami serta melaksanakan SOP ini dengan menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.
Tambahnya, garis panduan berkaitan kompaun telah disemak dan dipinda bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih telus dan saksama. Sebagai langkah kawalan, setiap pengeluaran kompaun kini memerlukan kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu perintah baharu iaitu Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Pewakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 telah mula berkuat kuasa pada 8 Julai 2025.
“Perintah ini menghimpunkan enam pewartaan terdahulu dalam satu dokumen pewakilan kuasa baharu, yang bertujuan menyelaraskan pelaksanaan penguatkuasaan antara agensi secara lebih sistematik,” jelasnya.
Terdahulu, EAIC mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor terhadap sebuah premis kitar semula di kawasan perindustrian Segamat.
Siasatan itu dijalankan susulan aduan diterima berhubung dakwaan kegagalan JAS Johor mengambil tindakan terhadap premis yang dikatakan beroperasi tanpa lesen sah dan disiasat di bawah peruntukan Seksyen 17, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami