Skip to main content

Malaysia

Ahli Parlimen Igan gesa audit sistem pendawaian sekolah

Sumber: BOMBA
Ahmad Johnie menggesa tindakan sewajarnya diambil memandangkan terdapat pendawaian elektrik di sekolah yang sudah berusia melebihi 15 tahun. - Gambar hiasan/Bomba

SIBU: Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi semalam menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera melaksanakan audit pendawaian elektrik secara menyeluruh di semua sekolah susulan insiden seorang pelajar maut akibat renjatan elektrik di Daro, pada Rabu. 

Beliau berkata pemantauan tahap keselamatan fasiliti di premis berkenaan penting terutama melibatkan sekolah daif di Sarawak.

“Kes kematian kerana renjatan elektrik ini mempunyai kaitan dengan isu sekolah daif di Sarawak yang bukan sahaja melibatkan struktur bangunan uzur malah fasiliti serba kekurangan.

"KPM harus memastikan sistem pendawaian elektrik di sekolah sentiasa selamat. Saya menggesa tindakan sewajarnya diambil memandangkan terdapat pendawaian elektrik di sekolah yang sudah berusia melebihi 15 tahun,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Johnie juga berkata audit itu penting bukan sahaja untuk mencegah renjatan elektrik malah bagi mengurangkan risiko kebakaran yang boleh berlaku pada bila-bila masa akibat litar pintas.

Beliau juga akan membawa isu keselamatan fasiliti sekolah ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil wuduk di sebuah sekolah di Daro pada Rabu.

Pelajar Tingkatan Tiga yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke unit rawatan rapi Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti tahap pematuhan aspek keselamatan sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video