EAIC teliti penahanan Siti Kasim

Bernama
Jun 25, 2018 23:29 MYT
EAIC memandang serius dakwaan mengenai ketidakpatuhan dan penyalahgunaan kuasa oleh polis apabila menahan Siti Kasim. - Facebook/Siti Kassim
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan meneliti penahanan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim untuk menentukan sama ada polis telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila melaksanakan penahanan itu.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi EAIC Datuk A. Aziz A. Rahim berkata agensi itu memandang serius dakwaan mengenai ketidakpatuhan dan penyalahgunaan kuasa oleh polis apabila menahan Siti Kasim.
"EAIC akan meneliti perkara itu... sama ada benar dakwaan mengenai ketidakpatuhan polis dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka.
"Ini selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 28 Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang menyebut Suruhanjaya boleh memulakan penyiasatannya sendiri jika Suruhanjaya berpuas hati bahawa perkara itu mempunyai kepentingan yang signifikan kepada orang ramai atau bahawa adalah demi kepentingan awam," kata beliau.
BACA: Kes Siti Kasim: Muhyiddin mahu laporan terperinci
BACA: Saya hanya mahu lindungi anak guam - Siti Kasim
Siti Kasim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 tengah malam Sabtu kerana dikatakan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh seorang peguam yang mendakwa peguam itu telah menculik anak perempuannya yang berusia 24 tahun pada Khamis.
Dia didakwa telah menculik perempuan itu, yang juga anak guamnya, ketika menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang dan kemudian diselamatkan oleh polis di sebuah unit kondominium di Segambut pada malam Sabtu.
Bagaimanapun, polis membebaskan Siti Kasim selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan bagi perintah reman. -- Bernama
BACA: Penahanan Siti Kasim ikut undang-undang - Polis
BACA: Mahkamah tolak permohonan reman Siti Kasim
#EAIC #integriti #Mahkamah Majistret #polis #Siti Kassim #Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan