Ebit Liew dakwa telefon bimbit rosak, mahkamah diberitahu

Hasil siasatan mendapati telefon berkenaan sebenarnya dihantar oleh Ebit ke syarikat itu untuk dianalisis. - Bernama
TENOM: Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini bahawa tertuduh mendakwa telefon bimbit miliknya rosak dan tidak mengetahui keberadaannya.
Saksi ke-18, Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Supt Noor Asyikin Shamsuri, 46, bagaimanapun berkata hasil siasatan terhadap Perunding Kanan Digital Forensik LGMS Berhad, Hoo Kah Yan, pada 11 Nov 2022 mendapati telefon berkenaan sebenarnya dihantar oleh Ebit ke syarikat itu untuk dianalisis.
"Hasil siasatan saya mendapati Hoo menerima telefon bimbit berkenaan dalam keadaan baik dan tidak rosak bagi tujuan analisis berkaitan keyword searching, WhatsApp chat extraction dan image extraction terhadap peranti itu," katanya ketika membaca kenyataan saksi di mahkamah hari ini.
Katanya pada 22 Nov 2022 pihaknya menerima e-mel balasan daripada firma guaman itu yang memaklumkan mereka sudah menghubungi Ebit, namun tertuduh mendakwa telefon bimbitnya hilang selepas laporan analisis forensik dibuat.Noor Asyikin turut memaklumkan bahawa pada 30 Nov 2022, beliau bersama ASP Siti Nooraini Mohd Sahid dan ASP Norfazliyani Zolkapeli ke pejabat LGMS bagi mengambil keterangan saksi serta bahan bukti, termasuk ekstrak data daripada telefon milik Ebit yang dianalisis oleh syarikat berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami