ECRL: MRL siap sedia hadapi musim tengkujuh, pastikan bantuan disalur segera

Darwis berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan berisiko tinggi yang berpotensi terjejas setiap kali musim tengkujuh khususnya di jajaran Terengganu dan Kelantan. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) siap siaga menghadapi musim tengkujuh hujung tahun ini bagi memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pihaknya telah membuat persediaan awal di semua peringkat bagi memastikan operasi dan laluan projek tidak terjejas, selain membantu menyalurkan bantuan di kawasan terlibat.
"Di peringkat kita, persediaan telah dibuat bagi memastikan sekiranya berlaku sebarang kejadian, bantuan dapat disalurkan melalui ECRL seperti mana dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.
"Kita juga akan terus memberikan komitmen untuk memastikan sokongan dan bantuan dapat disampaikan ke kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berpotensi dilanda banjir," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Stesen ECRL Kuala Terengganu hari ini.
Darwis berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan berisiko tinggi yang berpotensi terjejas setiap kali musim tengkujuh khususnya di jajaran Terengganu dan Kelantan.
"Setakat ini hampir keseluruhan jajaran di Terengganu berpotensi terjejas namun paling kritikal seperti tahun lepas ialah kawasan Pasir Puteh di Kelantan. Kami sudah mengambil langkah pencegahan dan bersedia bertindak jika berlaku kejadian luar jangka.
"Faktor cuaca dan musim tengkujuh juga telah diambil kira dalam perancangan serta jadual penyiapan projek ECRL bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan dengan selamat dan teratur," katanya.
Menurut beliau, sebahagian besar kawasan berisiko telah dikenal pasti dan tindakan mitigasi sewajarnya diambil bagi mengurangkan kesan banjir terhadap komuniti setempat dan kerja-kerja pembinaan projek.
"Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan masih ada kawasan lain yang berpotensi terjejas. Sekiranya insiden berlaku disebabkan oleh kerja-kerja ECRL maka kita akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan melaksanakan tindakan pembetulan segera," katanya.
Sementara itu, Darwis berkata kemajuan keseluruhan projek ECRL kini telah mencapai 88.08 peratus manakala bagi jajaran di Terengganu sudah mencecah 93.55 peratus.
"Bagi dua stesen yang dilawati hari ini iaitu Stesen Bandar Permaisuri telah siap 77 peratus manakala Stesen Utama Kuala Terengganu pula berada pada tahap 68 peratus," katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap Disember 2026 dan beroperasi Januari 2027, manakala Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap Disember 2027 bagi membolehkan keseluruhan projek beroperasi sepenuhnya Januari 2028.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


