LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menahan sembilan individu termasuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pulau Langkawi dalam operasi khas Ops Moon pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, serbuan dan tangkapan itu dibuat berikutan intipan maklumat dan risikan bermula 18 Jun mengenai pergerakan serta aktiviti penyeludupan PATI yang diuruskan warga tempatan di Pulau Langkawi.

Romli berkata, sebelum itu, tujuh PATI telah dihantar oleh ejen darat menaiki feri penumpang di Jeti Kuah, Langkawi sekitar jam 4.30 petang menuju Kuala Kedah.

“Susulan itu, pasukan operasi bot PERKASA 1228 Maritim Malaysia telah memintas dan memberhentikan feri tersebut lebih kurang jam 4.40 petang di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan ke atas penumpang feri terbabit mendapati tujuh lelaki warga asing disyaki PATI warga Myanmar tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas feri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati, mereka dihantar oleh seorang lelaki warga tempatan disyaki ejen darat.

“Sehubungan itu, tujuh PATI itu ditahan dan dipindahkan ke bot PERKASA 1228 untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Romli berkata, hasil koordinasi maklumat tangkapan di laut, pasukan operasi darat kemudiannya berjaya mengesan seorang suspek disyaki ejen darat yang memandu kereta jenis Toyota Avanza sedang bergerak keluar daripada kawasan Terminal Feri Kuah, Langkawi ditahan untuk siasatan.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Langkawi dalam membanteras aktiviti penyeludupan orang dan pemerdagangan manusia di Langkawi termasuk jenayah rentas sempadan.

“Susulan penahanan PATI dan ejen darat berkenaan, seorang lagi lelaki warga tempatan disyaki dalang utama aktiviti penyeludupan migran turut ditahan Maritim Malaysia.

“Suspek berusia 26 tahun itu ditahan berikutan cubaan memberi suapan kepada pegawai Maritim Malaysia sebagai imbuhan bagi melepaskan lapan suspek yang ditahan pada Selasa,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Romli berkata, kesemua tahanan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Maritim Malaysia akan meneruskan siasatan bagi mengesan dan menangkap individu yang terlibat khasnya tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI masuk ke negara ini.

Katanya, ini kerana mereka dipercayai telah mengaut keuntungan ribuan ringgit menerusi aktiviti penyeludupan migran dan PATI memasuki ke negara ini bagi tujuan tenaga kerja warga asing secara haram.

Orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat bekerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian