KUALA LUMPUR: Kerajaan mengunjurkan sumbangan ekonomi digital negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 25.5 peratus menjelang 2025 berbanding 23.2 peratus ketika ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pertumbuhan itu juga mampu membuka sehingga 500,000 peluang pekerjaan baharu yang secara tidak langsung membuka peluang kepada bakat digital tempatan.

Menurutnya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih 30,000 usahawan mikro, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Program eUsahawan tahun ini, dengan sasaran jualan sebanyak RM35 juta.

"Sejak diwujudkan pada 2015, seramai 563,543 usahawan di seluruh negara telah dilatih melalui program itu dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

"Antara tiga sektor utama yang menyumbang kepada jualan terkumpul adalah sektor makanan dan minuman sebanyak 40 peratus, kecantikan dan kesihatan iaitu 25 peratus, serta gaya hidup dan pakaian sebanyak 15 peratus," katanya ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 anjuran MDEC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara itu berkata, pada tahun ini, 100 hab baharu akan diwujudkan di lokasi strategik seperti universiti serta pusat komuniti bagi membolehkan usahawan tempatan mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital.

Bagi program Global Online Workforce (GLOW) pula, beliau berkata MDEC menyasarkan untuk melatih seramai 5,000 pelajar IPT dengan menyediakan kemahiran digital untuk mendapatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di platform pekerjaan gig serantau.

Menerusi program GLOW, Gobind berkata MDEC telah membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta sehingga akhir tahun lepas.

Sementara itu ketika ditanya mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia, beliau berkata pihaknya akan membawa cadangan penubuhan  Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia untuk diputuskan dalam Kabinet.

Jelasnya, ekonomi digital merupakan sektor penting untuk dikaji dan diteliti bagi mewujudkan satu mekanisme atau landskap bagi mengukuhkan sektor itu.