JAKARTA: Ekonomi Indonesia diunjurkan mencapai kadar pertumbuhan 5.2 peratus tahun depan, dengan mengambil kira potensi ekonomi dan risiko yang terlibat, kata Presiden Joko Widodo.

Semasa menyampaikan ucapan belanjawan negara terakhir beliau di Parlimen di sini pada Rabu, pemimpin itu, yang dikenali sebagai Jokowi, menjelaskan ekonomi negara ini berkembang 5.1 peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

"Kestabilan ekonomi makro akan terus dikekalkan," katanya dengan menambah bahawa persekitaran yang aman menjelang pilihan raya 2024 adalah penting untuk melonjakkan keyakinan ekonomi jangka pendek.

Pentadbiran Jokowi turut mengunjurkan kadar pertukaran purata pada 15,000 rupiah bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah dianggarkan mencecah US$80 setong pada 2024.

Inflasi disasarkan pada 2.8 peratus manakala kadar pengangguran akan diturunkan kepada di antara 5.0 peratus dengan 5.7 peratus dan kadar kemiskinan pula kepada julat 6.5 peratus hingga 7.5 peratus.

Belanjawan 2024 oleh Jokowi menekankan dinamik ekonomi, cabaran dan sokongan pembangunan, menyasar untuk mempercepat transformasi ekonomi, mengekalkan pertumbuhan mampan dan melindungi kuasa beli.

Bagi tujuan merealisasikan semua perkara itu, belanjawan berjumlah 3,304.1 trilion rupiah (RM1 trilion) dicadangkan dengan anggaran hasil sebanyak 2,781.3 trilion rupiah dan defisit 2.29 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peruntukannya termasuk 660.8 trilion rupiah bersamaan dengan 20 peratus daripada belanjawan itu adalah untuk meningkatkan modal insan menerusi pendidikan manakala kesihatan menerima 186.4 trilion rupiah atau 5.6 peratus daripada belanjawan.

Bagi perlindungan sosial, sejumlah 493.5 trilion rupiah diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan dan menambah baik pembangunan modal insan bagi jangka masa panjang.

Peruntukan infrastruktur pula adalah 422.7 trilion rupiah manakala peruntukan bagi jaminan makanan pula ditetapkan sebanyak 108.8 trilion rupiah, dengan mengutamakan ketersediaan makanan, pengeluaran domestik, sokongan kepada petani dan infrastruktur berkaitan makanan.

Jokowi turut berkata menerusi belanjawan itu, gaji penjawat awam, anggota tentera dan polis dicadangkan dinaikkan sebanyak lapan peratus manakala 12 peratus bagi pesara.

-- BERNAMA