Skip to main content

Malaysia

Ekonomi Malaysia kekal kukuh, pelabur lihat negara hasilkan keperluan dunia - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.  Turut bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dan Pengerusi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Persidangan Tan Sri Asma
Perdana Menteri Anwar merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 di Kuala Lumpur, pada Isnin. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Keyakinan pelabur global terhadap Malaysia terus kukuh apabila negara dilihat memiliki asas ekonomi yang stabil serta keupayaan menghasilkan produk bernilai tinggi yang diperlukan di peringkat dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, meskipun konflik di Asia Barat menggugat pasaran global termasuk peningkatan harga tenaga dan aliran keluar modal dari beberapa pasaran, Malaysia sebaliknya mencatat perkembangan positif apabila dana global membeli lebih dua bilion dolar bon negara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Advertisement

“Ini merupakan berita yang amat baik untuk Malaysia. Mereka melihat sebuah kerajaan yang melaksanakan apa yang dijanjikan dan ekonomi yang kekal kukuh walaupun persekitaran semakin mencabar.

“Dan mereka juga melihat sesuatu yang mungkin kita sendiri jarang sebut bahawa negara ini menghasilkan perkara yang benar-benar diperlukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, perkembangan itu merupakan aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan, selain disokong prestasi ringgit yang muncul sebagai antara mata wang terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.

Anwar menjelaskan, pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus tahun lalu serta pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah membuktikan kekuatan struktur ekonomi Malaysia yang dipacu sektor strategik seperti semikonduktor dan aeroangkasa.

Beliau berkata, syarikat di Malaysia kini memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global termasuk menghasilkan struktur sayap pesawat komersial, komponen enjin aero berketepatan tinggi serta menjalankan pemasangan dan pengujian cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.

Tambahnya, terdapat juga syarikat tempatan yang berjaya mencapai status pembekal peringkat pertama kepada pengeluar enjin aero global, sekali gus membuktikan keupayaan teknologi dan kepakaran tempatan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan dasar, memperkukuh perlindungan harta intelek serta memastikan kontrak dihormati bagi menjamin keyakinan pelabur.

Katanya, Malaysia juga kekal mengamalkan dasar berkecuali secara aktif yang membolehkan negara berinteraksi dengan pelbagai pihak tanpa kekangan politik, sekali gus memudahkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.

“Peranan kerajaan adalah untuk memastikan asas kepada keputusan komersial itu kukuh. Jika terdapat halangan atau kelemahan dalam sistem, maklumkan kepada kami dan kita akan bertindak,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan industri dalam mendepani perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dan sistem autonomi, bagi memastikan penggunaannya kekal berlandaskan prinsip keselamatan dan keadilan.

Menurutnya, keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi serta menghasilkan produk bernilai tinggi menjadi antara faktor utama yang terus menarik minat pelabur global untuk kekal dan berkembang di negara ini.

Must Watch Video