KUALA LUMPUR: Walaupun diperkukuh oleh asas ekonomi yang kukuh dan ekonomi sedang menuju ke arah pemulihan selepas melalui tempoh paling sukar berikutan pandemik, Malaysia perlu jelas mengenai cabaran yang bakal dihadapi.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata terdapat beberapa faktor untuk optimis mengenai prospek pertumbuhan negara dan yang paling penting, ia sedang beralih kepada fasa endemik dengan kelonggaran langkah-langkah kawalan pandemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

"Fasa endemik dijangka menyumbang kepada pemulihan industri pelancongan Malaysia yang menyokong 3.5 juta pekerjaan.

"Kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir 80 peratus daripada jumlah penduduk menerima vaksin dengan dua dos menjadi satu lagi faktor penting.

"Ini berbanding dengan kadar ASEAN sebanyak 60 peratus," katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific di sini hari ini.

Dasar kerajaan yang kukuh telah memberikan kelegaan dan sokongan ekonomi kepada rakyat dan perniagaan, termasuk insentif pekerjaan, pemindahan tunai dan subsidi, yang membawa kepada penurunan yang ketara dalam kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.1 peratus pada Mei 2022.

Abdul Wahid, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), berkata Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022 manakala Bank Dunia mengunjurkan ekonomi berkembang sebanyak 5.5 peratus.

"Bagaimanapun, penting untuk diberi perhatian apabila unjuran ini telah diturunkan, menekankan situasi tidak menentu dalam dan luar negara. Jika terdapat peningkatan, pasti ada penurunan. Kita perlu mempertimbangkan cabaran domestik dan global yang akan menjejaskan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata risiko geopolitik memberi ancaman kepada pemulihan Malaysia apabila konflik di Ukraine dan sekatan ekonomi ke atas Rusia telah mewujudkan situasi tidak menentu dan meningkatkan kejutan bekalan untuk komoditi seperti minyak mentah, gas asli, gandum dan minyak bunga matahari, seterusnya menaikkan harga komoditi makanan.

"Malaysia juga perlu berdepan dengan tekanan inflasi ini. Indeks Harga Pengguna tahunan kita daripada -1.2 peratus pada 2020 kepada 2.5 peratus pada 2021.

"Kadar inflasi akan terus meningkat pada tahun ini. Inflasi telah didorong oleh peningkatan yang ketara dalam kos pengangkutan dan makanan. Harga makanan telah meningkat antara 3.6 peratus dan 4.0 peratus pada suku pertama tahun ini.

"Bagaimanapun, subsidi bahan api kerajaan telah mengawal kenaikan kos bahan api. Namun, subsidi bahan api mempunyai impak positif dan negatif berikutan walaupun ia mengekalkan inflasi yang rendah, ruang fiskal kerajaan akan mengecil," katanya.

Satu lagi isu domestik utama yang diketengahkan oleh Abdul Wahid ialah ketidaktentuan politik yang melanda negara sejak pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata rangsangan ekonomi daripada peralihan kepada fasa endemik mungkin dineutralkan oleh perkembangan global yang tidak menggalakkan seperti konflik di Ukraine, sekatan pergerakan COVID-19 di China dan tekanan inflasi.

Oleh itu, beliau mencadangkan matlamat jangka pendek untuk kestabilan ekonomi perlu memberi tumpuan kepada menyokong permintaan domestik dan menangani impak daripada inflasi yang diimport daripada kadar pertukaran yang rendah dan harga minyak yang tinggi.

"Seperti biasa, saya optimis bahawa Malaysia akan dapat mengatasi cabaran ini jika kita rakyat Malaysia bersatu, membina dan melaksanakan peranan masing-masing. Malaysia telah menghadapi krisis yang sama sebelum ini.

"Ternyata, terdapat faktor yang berbeza dan akan memerlukan penyelesaian yang berbeza. Ini bermakna kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang lepas. Kita perlu terus berusaha dan fokus," katanya.

-- BERNAMA