Ekonomi negara sudah mula menunjukkan petanda positif ke arah pemulihan berikutan pembukaan semula aktiviti perniagaan secara berperingkat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pada masa ini hampir semua sektor telahpun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan yang mana norma baharu sukar untuk diamalkan di tempat-tempat sedemikian.

"Kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes import ke dalam negara.

"Aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton," kata Muhyiddin dalam satu perutusan khas mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang disiarkan di televisyen tempatan, malam ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2020.

Bank Negara sebelum ini menyatakan bahawa ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk 'V' selepas mengalami impak COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, bank pusat berkata keadaan masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.

Pada suku kedua tahun ini, Malaysia mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.1 peratus (Suku Kedua 2019: 4.9 peratus) apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan pandemik tersebut.

Selaras dengan itu, BNM telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini.

Ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.

Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020, yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

-- BERNAMA