KUALA TERENGGANU: Ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, sekali gus memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelancongan merupakan antara sektor penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Beliau berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Malaysia pada 12 Mei lepas, Malaysia menerima kemasukan 604,457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka semula pada 1 April lepas.

"Sebanyak 93.8 peratus atau 567,025 orang daripada jumlah itu (warga asing yang masuk ke negara) adalah pelancong," katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini malam ini.

Katanya di awal pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.

Ismail Sabri berkata kerajaan telah memperuntukkan RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan.

"Saya pasti kita dapat bangkit semula untuk hidup aman dan harmoni dengan bekerja keras dalam meningkatkan ekonomi negara. Usaha-usaha ini sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yakin Terengganu yang menjadi tuan rumah MRTM Aidilfitri 2022 mampu mencapai sasaran menerima tiga juta pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini tahun ini.

"Dengan pelbagai tarikan pelancongan yang unik termasuk Jambatan Angkat, kempen 'Beautiful Terengganu' yang giat dipromosi kerajaan negeri, kita dapat lihat sendiri keunikan dan kecantikan Terengganu. Jadi, marilah kita pakat mari ke Terengganu, negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka, " katanya.

Sementara itu, beliau berkata rakyat harus bersyukur kerana negara masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius.

Katanya ketika seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, rakyat di negara bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya menyambutnya dengan linangan air mata.

"Konflik Rusia-Ukraine serta kekejaman tentera rejim Israel di Palestin misalnya perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

"Inilah peri pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan," katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kemeriahan Aidilfitri di negara ini dapat kembali dirasai setelah hampir dua tahun rakyat tidak dapat menyambutnya.

"Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia dapat pulang ke kampung halaman meraikan hari raya tahun ini dengan ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan," katanya.

Perdana Menteri turut menggalakkan amalan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal ini diteruskan bagi mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat.

Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat supaya terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun kelonggaran diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

-- BERNAMA