Perbelanjaan mengurus dijangka akan dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu perutusan khas mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan ekonomi negara sebentar tadi, Najib bagaimanapun berkata projek-projek bersifat 'people economy' (ekonomi rakyat) akan tetap diteruskan.

"Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan sebanyak RM48.5 bilion tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.

"Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan infrastruktur pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Katanya projek-projek MRT jajaran kedua, LRT3 serta keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura akan diteruskan.

Sementara itu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun 2015 akan ditangguhkan dengan penjimatan RM400 juta, bagi membolehkan program itu dikaji semula dan ditambah baik.

Menurut Najib ia adalah bertujuan untuk merasionalisasi perbelanjaan negara.


Selain itu kata beliau, perbelanjaan ke atas bekalan, perkhidmatan, penganjuran majlis, perkhidmatan profesional akan dioptimumkan bagi menjimatkan RM1.6 bilion.

Katanya, pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan konsisten & rizab yang tinggi turut akan dikaji semula, di mana langkah ini dijangka beri penjimatan sebanyak RM3.2 bilion.

Tambahnya lagi, kerajaan juga akan menjadual semula pembelian aset tidak kritikal seperti peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan RM300 juta.

Najib hari ini mengumumkan pengubahsuaian dan intervensi yang perlu dilakukan bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah.

Jelas beliau, kejatuhan harga minyak sebanyak 60 peratus membawa implikasi kepada ekonomi dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.