KUALA LUMPUR : Rumput laut kini berdepan risiko kepupusan, jika tiada usaha memelihara dan memulihara tumbuhan itu.

Keadaan itu bakal menjejaskan habitat hidupan laut seperti ikan dan dugong yang menjadikan rumput laut sebagai makanan atau tempat berlindung.

Lebih memburukkan, kesan kemusnahan tumbuhan dan hidupan laut itu bakal menjejaskan mata pencarian penduduk serta ekonomi negara terutama dalam sektor pelancongan dan perikanan.

Di Malaysia, ancaman utama ekosistem rumput laut adalah pembangunan di kawasan pesisir pantai melalui projek penebusgunaan tanah yang menyebabkan rumput laut banyak dilitupi pasir sekali gus menghalang proses fotosintesis.

Selain itu, pencemaran air juga menyebabkan rumput laut semakin hilang.



Kekurangan rumput laut jejaskan populasi dugong

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM),  Dr Jillian Ooi, rumput laut juga penting untuk populasi dugong yang kini turut diancam kepupusan.

"Dulu apabila ada dugong mati terdampar maka kita jalankan bedah siasat pada tahun 2006 dan mendapati perut dugong memang penuh dengan rumput laut.

"Pemakanan dugong di Johor memang rumput, jadi rumput laut penting untuk populasi dugong," katanya kepada Astro AWANI.

Pemakanan penduduk bermula di padang rumput laut 

Malah, pemakanan penduduk Malaysia bermula di padang rumput laut yang membiak dan membesarkan anak-anak ikan dan hidupan laut lain sehingga dewasa.

Apabila dewasa, anak-anak ikan dan udang umpamanya akan bergerak keluar ke kawasan terumbu karang dan hutan bakau.

"Kawasan rumput laut mempunyai lebih banyak anak ikan berbanding dengan kawasan terumbu karang.

"Kita dapati anak-anak ikan dan udang kara semua akan membiak dan membesar di padang rumput laut dan apabila menjadi dewasa baharulah ia akan bergerak keluar pergi ke kawasan terumbu karang dan hutan bakau pula.

"Itulah salah satu kepentingan rumput laut yang boleh diumpamakan seperti tadika di laut, di mana semua anak-anak ikan akan berkumpul di situ dahulu sebelum membesar," tambah beliau.



Johor 'hotspot' rumput laut

Hasil kajian Universiti Malaya mendapati, rumput laut paling banyak ditemukan di perairan Johor.

"Malaysia adalah negara paling kaya dengan rumput laut sebab menjadi hotspot khazanah laut. Namun, kalau kita lihat dalam kawasan sempadan perairan Semenanjung sahaja, maka Johor merupakan salah satu hotspot rumput laut kerana keluasan padang rumput lautnya paling besar dan jenis-jenis spesies di situ paling banyak," katanya lagi.

Selain Johor, Sabah dan Sarawak juga mempunyai ekosistem rumput laut yang sangat luas dan cantik.

"Negeri lain seperti Pulau Pinang dan Terengganu ada rumput laut, tetapi memang semakin berkurang. Dulu banyak dan di mana-mana perairan Malaysia ada rumput laut, tetapi sekarang sudah semakin berkurangan," ujar Jillian. 

Namun, apa yang membimbangkan kini, ekosistem rumput laut semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kekurangan ikan dan hidupan laut lain, yang menjadi sumber makanan utama penduduk.

"Dulu apabila pasukan UM melakukan penyelidikan di kawasan Selat Johor, dan Sungai Johor memang kita nampak rumput laut terdampar luas.

"Malah kita nampak banyak dugong, lumba-lumba (dolfin) juga ada. Namun, sekarang, apabila kita balik ke tapak tersebut kita dapati semua sudah kosong dan penduduk tempatan kata semua dugong, ikan lumba-lumba sudah kurang dan hampir tiada," tambah Jillian.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap ekosistem rumput laut di luar kawasan taman laut terutama di Johor, susulan aktiviti penerokaan tanah di kawasan pesisir serta aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan pencemaran laut dan sungai.

Katanya, masih ramai yang tidak sedar bahawa semakin banyak rumput laut dapat dilihat, semakin bersih sesebuah laut atau pantai itu.

Selain penguatkuasaan pihak berkuasa, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga rumput laut itu juga penting dan perlu diterapkan dalam kehidupan.

"Jabatan Perikanan mungkin memerlukan peruntukan untuk usaha pemuliharaan ini. Namun apa yang lebih penting ialah masih ramai lagi pihak yang belum mengenali rumput laut sebanyak mana mereka mengenali hutan bakau dan terumbu karang," ujarnya.



Rumpai laut bukan rumput laut

Justeru, Dr Jillian turut mengajak orang ramai untuk lebih mengenali dan ambil tahu mengenai rumput laut.

Jelasnya, ramai masih keliru dengan perbezaan rumput laut dengan rumpai laut.

"Rumpai laut atau seaweed adalah tumbuhan lebih primitif dan berbeza dengan rumput laut. Rumpai laut tidak ada akar dan tidak ada bunga. Biasanya ia senang tumbuh semasa kawasan itu tercemar. Kalau kawasan tercemar, rumpai laut akan tiba-tiba timbul. Itu suatu petanda bahawa kualiti air laut adalah kurang baik," katanya.

Rumput laut katanya mempunyai akar dan hanya hidup di dasar laut sahaja dan tidak akan terapung di permukaan air.

"Biasanya rumpai laut menjadi pesaing utama rumput laut sebab rumpai laut ini kalau sisa kumbahan masuk ke dalam air , rumpai laut akan dapat nutrien dan makin membiak, sekali gus ia akan menutupi permukaan laut dan menyebabkan rumput laut di dasar laut itu mati," jelas Jillian.

BACA: Rumput laut serap lebih banyak karbon berbanding hutan, saintis kini berkejar dengan masa