LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meneruskan kerjasama pertahanan antara negara sahabat melalui pelaksanaan Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) di sekitar perairan Selat Melaka semalam.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat hari ini, eksesais yang memfokuskan kepada peningkatan kesefahaman serta keboleh operasian bersama kedua-dua angkatan laut telah melibatkan KD Jebat dan PNS Taimur.

Terdahulu, PNS Taimur yang merupakan kapal terbaru armada TLP tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 2 Ogos 2022 untuk Lawatan Operasi.

“Kedua-dua angkatan laut telah mempamerkan kesefahaman serta keboleh operasian yang jitu sepanjang eksesais berlangsung.

“Semua objektif eksesais telah direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional,” menurut kenyataan itu.

TLDM meneruskan kerjasama pertahanan antara negara sahabat melalui pelaksanaan Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK). - Foto TLDM

Selain itu, katanya, perkongsian kepakaran dan ilmu turut diberi penekanan dengan pelaksanaan program pertukaran warga kapal KD Jebat dan PNS Taimur.

Eksesais itu turut dijayakan bot tempur pantas dan pesawat Fennec TLDM.

Menurutnya, kelancaran pelaksanaan eksesais itu jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama.

“Selain komited terhadap keselamatan maritim negara, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memperkasakan diplomasi pertahanan serta antarabangsa bagi membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan TLDM di peringkat global,” ujarnya.