“Saya ada misi tersendiri untuk berjaya dalam bidang muzik dan bidang perubatan.” - Nadira Adnan
Namanya belum begitu dikenali, namun apabila disebut lagu berjudul Isi Hati pasti ramai yang mengenali Nadira Adnan. Dilahirkan di London, kemudiannya kembali ke Malaysia menyambung persekolahan hingga ke sekolah menengah dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Jakarta, membuka lembaran yang lebih luas buat Nadira. Tidak hanya mengejar impian bergelar doktor, dia juga diberi peluang melunaskan minatnya dalam bidang muzik dan seni suara. InTrend berkesempatan menemubual eksklusif bersama Nadiah Adnan bercerita perihalnya.
Bagaimana terdorongnya Nadira dalam bidang seni suara?
Seni Persembahan sentiasa berbunga di hati sejak saya kecil lagi. Kota Jakarta membuka peluang yang luas kepada saya bukan setakat menyambung pengajian, tetapi juga bergelar penyanyi. Walaupun, pada mulanya keluarga agak bimbang saya tidak mampu menggalas dua tugasan sekali gus, namun akhirnya mereka terima setelah saya buktikan saya tidak mungkin mengabaikan pelajaran. Ibu saya separuh Indonesia, mempunyai teman baik bernama Thata Joyce Sigar, seorang yang berpengaruh dalam industri muzik dan hiburan di sana, bertanyakan saya, mahukah mencuba merakamkan lagu? Dia kemudiannya menjadi produser muzik saya selepas saya menamatkan pengajian di sekolah menengah. Isi Hati adalah judul album pertama saya dan lagu yang kian mendapat sambutan di sini. Terima kasih juga kepada Ahmad Dhani yang mencipta lagu-lagu indah untuk saya.
Bagaimana bekerja dengan Ahmad Dhani?
Ramai yang kata dia kelihatannya garang. Bagi saya dia orangnya tegas, berterus-terang tapi tidaklah garang. Seorang yang baik, suka memberi dorongan dan mungkin kerana dia yang menulis sesuatu lagu itu, dia mahu orang yang menyanyikannya memberikan yang terbaik.
Apakah perbezaan antara perkembangan fesyen dan kecantikan di Indonesia dan Malaysia?
Agak sama. Cuma, mungkin pengaruh fesyen saya lebih ke arah sana kerana saya berhijrah ke Jakarta pada usia saya sedang meningkat remaja. Apa yang boleh saya katakan, orang di Jakarta mungkin lebih berani dan tangkas menjengah pengaruh fesyen dari Amerika atau Eropah. Di Malaysia, sama sahaja sebenarnya cuma saya lihat perkembangan hijab lebih mendahului sekarang ini. Namun, mereka tetap fashionable walaupun dengan hijab.