Jawatan Pengerusi Parti pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kosong akan dipangku oleh Presiden.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan, memandangkan tempoh pencalonan pemilihan Bersatu telah ditutup, maka tiada pencalonan baharu akan dibuka.

"Kalau apa tindakan yang dibuat itu benar dan mempunyai kesahihan, orang yang menang tanpa bertanding, kalau keahliannya telah dibuang dari parti maka orang tu tak boleh ambil jawatan itu jadi bermakna jawatan tu kalau dia memang tanpa bertanding, jawatan tu jadi kosong, maka orang kena pangku

Kalau macam Presiden kena memangku jawatanlah," tegasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas beliau, setiap ahli yang dipecat, dibuang atau digugurkan dari parti tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam parti.

BACA: Dr Mahathir, Muhkriz dan tiga yang lain digugur keahlian Bersatu

"Semua orang yang nak bertanding jawatan atau nak memegang jawatan dalam parti di semua peringkat, dia mestilah mempunyai keahlian yang sah, sama ada masa dia bertanding atau selepas bertanding, ada cabaran atau tidak, mesti keahlian masih sah.

Sesiapa juga yang keahlian tergugur dengan apa cara sekalipun, dan penggugurannya sah, maka tak boleh pegang apa-apa jawatan," katanya lagi.

Terdahulu pada Khamis, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digugurkan keahlian dari Parti Bersatu berkuatkuasa serta merta.

Selain Tun Mahathir, turut digugurkan keahlian ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malek dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kaptem Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada lima Ahli Parlimen tersebut.