PUTRAJAYA: Sebanyak tujuh lukisan murid-murid sekolah menengah dipilih menghiasi muka hadapan Buku Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 yang diserahkan secara rasmi kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini sebagai tanda pengiktirafan hasil seni tersebut.

Kesemua lukisan itu dihasilkan melalui pertandingan melukis poster yang diadakan melalui e-Program Wira Anti Rasuah (WAR) Sekolah Menengah SPRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.

Pemilihan semua poster tersebut bertujuan untuk menyampaikan mesej bahawa setiap lukisan adalah ekspresi kebencian pelajar terhadap sebarang bentuk perbuatan rasuah.





Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping Perak, Ng Si Ying berkata, beliau mendapat ilham menghasilkan lukisan ini menerusi pembacaan di laman web selain merujuk kepada portal SPRM.

Beliau yang ketika itu berada di Tingkatan Satu berkata, beliau dimaklumkan mengenai pertandingan itu oleh guru sekolah dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan lukisan yang menggunakan cat air dan pensel warna.

“Lukisan saya menggunakan tangan  sebagai simbolik menolak rasuah dan logo SPRM sebagai satu agensi penguatkuasa membanteras rasuah di negara ini serta ingin menyampaikan mesej kepada pemimpin negara bahawa kami mahukan sebuah negara yang bebas rasuah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada panel LPPR di sini, hari ini.





Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM,  Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya menyerahkan buku Laporan Tahunan SPRM 2021 kepada Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ahmad Khusairi dalam ucapannya berkata, buku Laporan Tahunan SPRM 2021 itu diterbitkan selaras peruntukan Seksyen 11 (2) Akta SPRM 2009.

Katanya, buku ini mengandungi laporan komprehensif aktiviti SPRM sepanjang tahun 2021 berkaitan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi, ahli-ahli LPPR iaitu Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Dr Hamzah Kassim dan Datuk David Chua Kok Tee.







Seorang lagi pelajar Tingkatan Empat, Gracelyn Loh Yee Thing dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan China, Pulau Pinang pula berkata, beliau mengambil masa selama dua minggu untuk menghasilkan lukisan ini dan mendapat idea melalui beberapa laman web selain turut merujuk portal SPRM.

“Saya agak terkejut dan gembira kerana lukisan ini terpilih sebagai penghias muka hadapan buku Laporan Tahunan SPRM 2021,” katanya.

Sementara itu, Doreen Tan Ping Ping, ibu kepada Gracelyn Loh Yee Thing berkata, beliau amat teruja apabila dimaklumkan bahawa lukisan anaknya terpilih dan akan dicetak di  muka hadapan buku laporan itu.

Beliau yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat berkata, dia mengetahui mengenai pertandingan melukis itu daripada laman web dan memberitahu kepada anaknya untuk menyertainya bagi memenuhi masa terluang kerana ketika itu sekolah ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya menyambut baik pertandingan ini diadakan dan ini adalah cara terbaik untuk mendidik generasi muda khususnya pelajar sekolah mengenai rasuah,” katanya.

Buku Laporan Tahunan SPRM 2021 boleh didapati di portal SPRM dengan melayari laman web www.sprm.gov.my.