Skip to main content

Malaysia

KPT jamin hak mahasiswa bersuara tidak dikompromi

IPOH, 4 Mac -- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim ketika bertemu pengamal media selepas Perasmian Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adam Adli berkata prinsip kementerian untuk menjamin hak mahasiswa bersuara adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, walaupun wujud perbezaan pendapat atau ketidaksetujuan terhadap sesuatu hujah. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan terus memelihara dan mempertahankan ruang bagi golongan mahasiswa berdiskusi, berhujah serta menyuarakan pandangan menerusi platform di peringkat universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata prinsip kementerian untuk menjamin hak mahasiswa bersuara adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, walaupun wujud perbezaan pendapat atau ketidaksetujuan terhadap sesuatu hujah.

Advertisement

“Ruang ini penting bagi membolehkan mahasiswa mematangkan diri menerusi pendedahan kepada pelbagai idea dan wacana ilmiah. 

“Kementerian juga berharap pelajar yang aktif dalam diskusi awam dapat melibatkan lebih banyak pihak supaya ia menjadi lebih terbuka, seimbang dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Kualiti Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Adam Adli berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai forum berkaitan integriti dan rasuah anjuran beberapa badan pelajar UM malam tadi yang didakwa dihalang pihak polis.

Beliau berkata biarpun KPT menjamin hak kebebasan bersuara mahasiswa, wakil pelajar juga perlu berhubung dengan pihak pentadbiran bagi melancarkan sebarang aktiviti.

“Kami tetap bersama mahasiswa dan akan sentiasa mencari jalan bagi memastikan program yang diadakan menjamin hak mereka untuk berhujah, bersuara dan berdiskusi.

“Kami mahu forum dan ruang interaksi ini menjadi budaya yang terbuka, tidak terhad kepada gerakan mahasiswa sahaja supaya lebih banyak platform dapat diwujudkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pihak pentadbiran tidak pernah menghalang penganjuran forum atau ruang diskusi mahasiswa di kampus berkenaan.

“Sekiranya ia benar-benar diskusi yang sihat dan berlangsung di tempat sesuai, kami tidak akan membatalkannya, namun permohonan perlu dibuat mengikut tatacara universiti,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video