Lebih 3,000 pesawah di Bagan Serai dan Parit Buntar terjejas berikutan padi berisiko tinggi tidak dapat mengeluarkan hasil susulan bekalan air dari Empangan Bukit Merah dihentikan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali berkata keadaan itu menyebabkan 3,175 pesawah terbabit bakal mengalami kerugian RM39.9 juta dan berharap kerajaan dapat memberikan pampasan.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kepada pengiraan jumlah kos permulaan menanam padi yang ditanggung pesawah bagi setiap hektar dan bantuan pembiayaan 50 peratus daripada anggaran hasil padi mereka sebelum ini.

"Daripada keseluruhan 8,097 pesawah di daerah Kerian, sejumlah 3,175 pesawah di kawasan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar dikenal pasti terjejas apabila sawah padi yang diusahakan mereka berisiko tinggi tidak dapat mengeluarkan hasil berikutan bekalan air dari Empangan Bukit Merah dihentikan.

"Sebanyak 8,097 hektar sawah padi dikenal pasti terjejas daripada keseluruhan 21,108 hektar sawah padi di daerah Kerian dengan nilai pengeluaran padi terjejas RM56.4 juta," katanya.

Noor Azmi yang juga Anggota Parlimen Bagan Serai berkata demikian kepada pemberita pada majlis apresiasi rakyat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah seluruh Parlimen Bagan Serai di sini, malam tadi.

"Sawah padi yang sudah ditanam berhadapan risiko tinggi tidak menjadi (mengeluarkan hasil), sekiranya bekalan air tidak mencukupi terutama usia padi mencecah 40 hari.

"Selain itu, ancaman rumpai dan cuaca panas turut meningkatkan risiko tanaman padi terjejas," katanya.

Beliau berharap pampasan dapat disalurkan kepada pesawah dengan kadar segera, lebih-lebih lagi bulan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi.

Selain itu, beliau berkata kerajaan pusat juga perlu mengambil perhatian terhadap impak ditanggung pengusaha pelancongan resort, Pulau Orang Utan dan pengusaha ikan arowana yang turut terjejas di kawasan Empangan Bukit Merah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perlu memperhalusi kesan kewangan dan aspek perundangan sebelum mengisytiharkan kawasan empangan yang kritikal akibat fenomena El-Nino termasuk Empangan Bukit Merah.

Beliau berkata kerajaan prihatin terhadap masalah dibangkitkan kerajaan Perak yang mahukan penyelesaian segera, namun permintaan itu harus diteliti melalui beberapa kaedah.