Elak jadi hotspot banjir berulang, penduduk Taman Sri Nanding harap tindakan segera

Azwan berkata, hujan bermula sekitar 12 tengah malam dan menjadi sangat lebat antara 1 hingga 3 pagi, mendorong penduduk mengambil langkah segera menyelamatkan dokumen penting. - Gambar Astro AWANI
HULU LANGAT: Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan penduduk Taman Sri Nanding berjaga sehingga awal pagi ini bagi mengelakkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Penduduk Taman Sri Nanding, Azwan Ahmad berkata, hujan bermula sekitar 12 tengah malam dan menjadi sangat lebat antara 1 hingga 3 pagi, mendorong penduduk mengambil langkah segera menyelamatkan dokumen penting dan mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih selamat.
“Bila dengar hujan turun pukul 12 tengah malam, saya cepat-cepat simpan dokumen di tempat tinggi, alih barang yang penting dan pindahkan kereta ke Taman Perkasa kerana Sungai Serai kawasan rendah dan mudah dinaiki air,” katanya kepada Astro AWANI.
Azwan berkata, meskipun ini bukan kali pertama taman perumahannya dilanda banjir, dia tetap berjaga-jaga demi memastikan tiada perkara buruk berlaku.
Tambah Azwan yang menetap di taman perumahan di Kawasan itu sejak 30 tahun lalu, dia mendakwa masalah banjir semakin berlarutan sejak pembangunan pesat dijalankan di sekitar kawasan itu.
Azwan menegaskan masalah itu tidak akan selesai tanpa tindakan serius daripada pihak berkuasa.
“Taman Sri Nanding bukan kawasan rendah, tetapi sekarang setiap kali hujan, air naik. Berbeza dengan lengkungan Intan paling teruk, kawasan sana memang selalu banjir.
“Sistem perparitan yang betul dan pelaksanaan sistem tebatan banjir yang lebih sistematik amat diperlukan. Kalau tidak, masalah ini akan berulang,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


