Elak jadi mangsa penipuan rumah kebajikan palsu - Nancy

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong menegaskan bahawa rumah kebajikan kerajaan tidak mengenakan sebarang yuran kemasukan. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan melibatkan rumah kebajikan palsu yang menuntut bayaran.
Ringkasan AI
- Menteri Nancy Shukri menggesa orang ramai berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan yang melibatkan rumah kebajikan palsu yang meminta bayaran.
- Beliau menegaskan bahawa rumah kebajikan kerajaan tidak memungut yuran kemasukan walaupun terdapat syarat kelayakan.
- Nancy mendedahkan pengalaman peribadinya menerima pertanyaan mengenai iklan yang memerlukan bayaran untuk diterima masuk ke rumah kebajikan, serta menyeru orang ramai untuk mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi kerajaan.
Berkongsi pengalaman peribadinya mengenai perkara tersebut, Nancy mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini telah dihubungi mengenai iklan yang mendakwa individu dikehendaki membayar yuran untuk diterima masuk ke rumah kebajikan.
"Baru semalam, seseorang bertanya kepada saya tentang rumah kebajikan. Ada iklan besar mengenainya kerana mereka mengatakan bahawa anda dikehendaki membayar yuran tertentu (untuk diterima masuk ke rumah kebajikan)," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Laman Web Persatuan Wanita India Sarawak di sini hari ini.
"Sudah tentunya ada syarat-syarat tertentu untuk orang yang diterima masuk ke tempat perlindungan dan juga berada di institusi lain. Jadi, jangan mudah takut dengan orang-orang ini (penipu)," katanya.
Nancy turut melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan bilangan kes serupa yang dilaporkan dan berharap perkara itu diambil serius dan disiasat dengan sewajarnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi kerajaan dan melaporkan sebarang iklan atau mesej yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


