MALAYSIA
Elak pandang sinis usaha boikot barangan Israel - Dr MAZA

Ribuan peserta terdiri daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan masyarakat agar tidak memandang sinis terhadap usaha memboikot barangan Israel.
Ringkasan AI
- Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan bahawa usaha memboikot barangan Israel walaupun kecil tetap membuktikan solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
- Beliau menekankan dua faktor kehadiran di Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza iaitu nilai kemanusiaan menolak kezaliman dan tanggungjawab persaudaraan Islam.
- Dr Mohd Asri menegaskan setiap usaha, walaupun kecil, adalah tanda seseorang masih memegang nilai kemanusiaan dan keimanan.
“Sebahagian orang memandang sinis usaha mengecam Israel dengan berbagai logo dan lambang, tetapi itu yang kita mampu lakukan bagi membuktikan kita masih manusia dengan kemanusiaan,” katanya.
Berucap pada Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka pada Sabtu malam, Mohd Asri atau lebih dikenali Dr MAZA berkata, kehadiran peserta pada perhimpunan itu perlu didorong oleh dua faktor utama.
Pertama, katanya, adalah kerana nilai kemanusiaan yang menolak kezaliman dan kerakusan rejim Zionis.
“Kita manusia yang masih punya nilai kemanusiaan, manusia yang tidak rela lihat kezaliman dan kerakusan. Lihat apa dilakukan Zionis, daripada pembunuhan kanak-kanak, wanita, kekejaman melaparkan mereka dan mengebom ketika mereka dapatkan makanan,” ujarnya.
Katanya lagi, bantahan terhadap kekejaman Israel turut disuarakan rakyat di negara Barat, meskipun berbeza agama dan tidak mempunyai pertalian dengan rakyat Gaza.
“Di Australia, himpunan besar dilakukan rakyat mereka membantah kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, tidak juga mereka seagama dengan rakyat Gaza tapi sebab atas dadar kemanusiaan mereka yang hidup. Tidak kerana mereka mempersaudarakan rakyat Gaza.
“Jika rakyat di Barat, Eropah boleh bangkit, adalah dukacita jika rakyat di dalam negara orang Islam tidak boleh bangkit. Kita hendaklah bangkit dan melakukan apa yang kita mampu dari kemanusiaan,” tambahnya.
Faktor kedua, menurut beliau, adalah tanggungjawab persaudaraan Islam yang mewajibkan umatnya saling membantu dan prihatin terhadap penderitaan saudara seagama.
“Kita percaya kita dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak kerana Allah telah mempersaudarakan kita dengan mereka.
“Sesiapa yang boleh tidur lena dan enggan peduli apa yang berlaku di Palestin, dia tidak layak menjadi manusia dengan kemanusiaannya dan dia tidak layak jadi Muslim dengan persaudaraan seakidah,” tegas beliau.
Dr Mohd Asri menegaskan, setiap usaha walaupun kecil, adalah tanda seseorang masih memegang nilai kemanusiaan dan keimanan.
“Mudah-mudahan kita lakukanlah apa yang kita mampu bagi membuktikan kita manusia dan Muslim,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami