SHAH ALAM: Tekanan yang dibuat terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sejak kebelakangan ini tidak sesekali melunturkan semangat kepimpinan dan ahli Pas.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia mengingatkan partinya erti sunnatullah dalam perjuangan yang penuh mehnah atau ujian.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan sebarang saranan serta turut membuka ruang penambahbaikan demi kesejahteraan semua pihak.

"Sekuat mana pun ujian dan gangguan, Pas semakin membesar dan matang di persada negara. Pas sentiasa menjadi rujukan oleh kebanyakan ilmuan.

"Institusi ini ialah jihad pendidikan yang dilakukan Pas untuk negara dan dengan bantuan ALLAH SWT ia diterima baik kebanyakan masyarakat," katanya menerusi hantaran di X pada Sabtu.

Menerusi hantaran itu, Tuan Ibrahim turut berkongsi beberapa keping gambar sekitar majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan bersama guru Pasti di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Sebelum ini, tular memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mengenai satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti selain SRITI dan SMITI yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Susulan itu, pelbagai pihak memberi reaksi termasuk meminta agar isu berkaitan gaji kakitangan di pusat pendidikan seliaan Pas itu diteliti semula.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pada masa sama turut mengakui partinya tidak pernah bebas daripada tekanan dan gangguan.

Malah katanya, bekas Mursyidul Am Pas, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menerima ujian dan cercaan pihak yang tidak sealiran dengan mereka.

"Banyak pimpinan dan ahli Pas dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dek kerana bersama menggerakkan perjuangan Pas," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian