Emma Maembong dan suami positif COVID-19

Afiezy Azaman
Januari 14, 2021 23:47 MYT
Emma berkata, dia dan suaminya tidak mengalami sebarang simptom namun keputusan ujian swab COVID-19 menunjukkan positif. - Instagram Emma Maembong
KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong dan suami, Muhammad Shazli Azhar, disahkan positif dijangkiti COVID-19.
Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, dan suaminya mengesahkan perkara itu melalui video yang dimuat naik di Instagram, pada Khamis.
Namun, anak pasangan ini, Shariq Gabriel yang berusia tiga bulan, tidak dijangkiti virus berkenaan.
Pelakon itu berkongsi video berdurasi 41 saat menunjukkan dia melakukan ujian saringan COVID-19 di rumahnya.
Dalam entri itu, Emma berkata, mereka tidak mengalami sebarang simptom namun keputusan ujian saringan adalah positif.
"Saya tiada simptom langsung, tetapi hasil ujian menunjukkan saya positif COVID-19. Jadi, walaupun rasa sihat, buat sahaja ujian swab, sebab kita tak tahu kalau kita ada jangkitan itu atau tidak.
"Tolong jaga diri dan ikutlah prosedur operasi standard (SOP). Selamat berkuarantin kepada diriku," katanya.
#Instagram #video #COVID-19 #ujian saringan #Emma Maembong #Muhammad Shazli Azhar #SOP #Simptom #kuarantin #kes positif