KOTA KINABALU: Empangan di Pulau Sebatik dekat Tawau, yang kering sejak awal tahun ini, telah mula beroperasi tetapi dalam keadaan minimum iaitu pada kadar 0.3 Juta Liter Sehari (JLH), kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata ini adalah susulan daripada operasi pembenihan awan yang dijalankan di Sabah pada Khamis lepas, yang turut berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan tadahan air termasuk di Tawau.

“Ini satu petanda baik kerana Pulau Sebatik adalah antara kawasan di Sabah yang agak kering, sejak awal tahun selain Papar.

“Kita berharap dengan peralihan monsun, perubahan cuaca dan ketibaan lebih banyak hujan maka paras empangan tersebut akan naik dan loji boleh memproses air dalam kadar lebih tinggi mengikut reka bentuk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Rumah Anak Yatim As Sakinah dan Rakan Media di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) masih meneruskan proses pengagihan bekalan air menggunakan air daripada bawah tanah dan lori tangki kepada penduduk Pulau Sebatik bagi menampung keperluan mereka.

Mengulas operasi pembenihan awan di Sabah, Shahelmey berkata kejayaan pelaksanaan operasi itu sebanyak 67 peratus apabila hujan turun di beberapa daerah termasuk di Papar, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

“Namun demikian, kita belum dapat kepastian sama ada hujan itu telah turun di kawasan tadahan yang menjadi tempat kepada sumber air kepada empangan. Kita berdoa memandangkan sekarang akan memasuki April dan Jabatan Meteorologi telah menyatakan kita berada di fasa peralihan monsun dan akan ada hujan turun.

“Ini menjadi harapan kita untuk hujan turun terutama di kawasan-kawasan tadahan hujan agar dapat berfungsi semula dalam jumlah mencukupi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahelmey berkata peruntukan RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah untuk melaksanakan pelan jangka pendek menangani isu air di negeri itu kini di peringkat fasa pengurusan nilai.

Beliau berkata fasa pengurusan itu telah dibuat minggu lepas, dengan lapan inisiatif diluluskan bagi melaksanakan sekali gus menyelesaikan sebahagian daripada masalah air di Sabah.

Shahelmey berkata terdapat satu projek rintis telah dilaksanakan di Sepanggar antara lain bagi melihat keberkesanan pelaksanaan pemotongan sambungan paip haram untuk memastikan kadar air tidak berhasil dapat dikurangkan di negeri itu.

“Dan air yang terbazir selama ini boleh masuk dalam untuk kegunaan pengguna berdaftar,” katanya.

-- BERNAMA