PUTRAJAYA: Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, berteraskan tiga matlamat utama iaitu sebagai penjanaan elektrik, tebatan banjir serta sumber air bersih selain bagi tujuan ekopelancongan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pembinaannya turut mendapat sokongan lebih 80 peratus responden berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, dan ketika ini tidak ada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaannya.

Katanya kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) telah dijalankan untuk projek empangan itu, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut dilibatkan sebagai 'orang tengah' antara masyarakat Orang Asli di kawasan terlibat dengan kerajaan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata masyarakat Orang Asli di tiga perkampungan terlibat juga telah diberikan penempatan dengan pembiayaan kerajaan dan TNB.

"Bukan sahaja diberi rumah, malah kebun dan segala kemudahan sosial juga disediakan. Semua telah diperuntukkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak tertentu baru-baru ini yang mendakwa pembinaan empangan itu akan menjejaskan kehidupan Orang Asli di kawasan berkenaan selain menggesa kerajaan membatalkan projek itu.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata projek bernilai RM5 bilion itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata projek itu berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

-- BERNAMA