PETALING JAYA: Bekalan air di empangan Selangor mampu bertahan sehingga enam bulan jika tiada hujan disebabkan musim panas atau El-Nino.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diperoleh hasil dapatan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurutnya, bekalan air di empangan dan kolam takungan sedia ada mencukupi mendepani musim panas ketika ini.

"Berdasarkan paras air empangan yang dipantau setiap masa lebih-lebih lagi ketika musim panas, ia mampu bertahan maksimum sehingga enam bulan jika tiada bekalan air atau hujan yang sedikit.

"Saya yakin menjelang September ke Oktober, musim hujan akan bermula dan kadar air di empangan akan kembali stabil untuk penyaluran," katanya pada perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya di Seksyen 1 di sini pada Sabtu.

Katanya, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan bekalan air diuruskan dengan baik tanpa menjejaskan aktiviti harian rakyat dan ekonomi.

"Kita pantau setiap masa, ketika ini masih hujan dan bukan tiada hujan langsung. Selagi ada hujan, kita masih mampu bertahan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas daripada kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menyenaraikan Selangor antara lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino.

Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor turut disenarai berdepan fenomena itu yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlaku El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.

El-Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia. -Sinar Harian