Empat lelaki yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan dalam satu operasi cantas di hadapan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bukit Kayu Hitam, Kedah petang semalam.

Kesemua mereka ditahan sepasukan Polis Ibupejabat Kontinjen negeri Kedah ketika mereka cuba menyeberangi pintu sempadan ke negara jiran ekoran operasi yang dijalankan pihak polis.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap keempat-empat lelaki tersebut mendapati mereka adalah warga tempatan dan terdapat simbol serta lambang pertubuhan yang diharamkan kerajaan pada tubuh keempat-empat lelaki berkenaan.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 tahun hingga 30 tahun.

Katanya kesemua mereka hanya berjalan kaki bagi melalui sempadan Bukit Kayu Hitam Thailand bagi mengelakkan daripada dihidu pihak berkuasa namun rancangan mereka gagal.

"Saya amat menyeru kepada golongan -golongan muda ni daripada semua kaum khususnya sama ada mereka ni bekerja atau tak bekerja tidak terlibat atau tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang berbentuk pertubuhan-pertubuhan yang tidak mendatangkan hasil atau membuat sesuatu jenayah yang amat menyusahkan rakyat ataupun orang-orang sivil yg lain," katanya kepada pemberita.

Dalam operasi berasingan yang dijalankan di daerah Kulim seorang lagi ahli kumpulan kongsi gelap berusia 20 tahun ditahan dalam satu sekatan jalan raya dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat simbol sebuah pertubuhan haram di tubuh remaja tersebut.

Kesemua mereka kini dikenakan tahanan reman bagi siasatan penuh pihak polis dan jika didapati kesemua mereka ahli pertubuhan haram kesemua mereka akan didakwa dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan kerana menjadi ahli pertubuhan haram.

Sejak Operasi Cantas dijalankan 18 ogos lalu seramai 183 orang ditahan dan 4014 orang diperiksa.

Polis katanya akan meneruskan operasi ini termasuk kawalan rapi disekitar sempadan Bukit Kayu Hitam dan sekitar kompleks Imigresen Kota Putra, Durian Burung, Kedah.